KUALA LUMPUR - Biarpun sedar mereka bakal berdepan antara pasukan terbaik dalam liga tempatan yang turun dengan reputasi juara treble, namun faktor tersebut tidak sedikitpun membuatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kecut perut apabila berdepan Kelantan pada separuh akhir pertama Piala Malaysia di Selayang, Jumaat ini.
Anak-anak buah B. Sathianathan itu sentiasa menghormati Kelantan sebagai lawan yang kuat dan kental, tetapi mereka juga membawa keyakinan sendiri apabila menerima kunjungan The Red Warriors di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Menurut pertahanan The Gladiators, Amirizwan Taj Tajuddin, pengalaman dikecewakan anak-anak buah Bojak Hodak itu dalam final Piala Malaysia tahun lalu masih dirasai oleh sebahagian besar rakan-rakannya, justeru keinginan untuk menembus kekalahan tersebut amat tinggi, sekali gus bakal menyuntik semangat juang yang luar biasa.
Malah, semangat juang hebat yang dimiliki ATM adalah perkara yang paling digeruni lawan mereka sepanjang kempen Piala Malaysia 2013.
Biarpun dibarisi ramai 'kuda tua' dan tidak diberi harapan tinggi di awal saingan, namun semangat juang itulah yang telah membawa The Gladiators ke separuh akhir.
"Memang Kelantan adalah lawan yang cukup kuat dan berbahaya, tetapi kami sudah masak dengan corak permainan dan taktikal yang selalu digunakan oleh mereka.
"Kedua-dua pasukan sudah banyak kali bertemu sejak tahun lalu, jadi kami cukup bersedia.
"Lagipun, ATM pernah memecah rekod tanpa kalah Kelantan di Kota Bharu, jadi kemenangan itu telah memberi keyakinan psikologi buat pemain-pemain kami. Apa saja boleh berlaku pada separuh akhir nanti, tidak mustahil kami boleh melakar kejutan.
"Walaupun, semua orang menganggap Kelantan sebagai pilihan untuk layak ke akhir, tetapi kami juga sudah bersedia untuk memberikan kejutan kami sendiri dan menempah tiket final Piala Malaysia," kata Amirizwan ketika dihubungi Utusan Malaysia kelmarin.
RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131016/su_06/Gladiators-tak-kecut-perut#ixzz2hqCQncNg
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment