Ad

Sunday 13 October 2013

Semangat Harimau Muda tetap menyala

Ong Kim Swee (kiri) menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka daripada Mohd. Khalil di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka, semalam. - UTUSAN/Gaie Uchel
MELAKA - Pemain Harimau Muda A diingatkan supaya dapat terus fokus serta mengekalkan kualiti permainan meskipun Myanmar menukar tarikh acara bola sepak pada Sukan SEA 2013 Disember ini.
Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee berkata, Myanmar yang juga tuan rumah kejohanan telah menunda tarikh pengundian bagi acara bola sepak serta acara sukan lain kepada 6 November berbanding tarikh asal pada 29 Oktober ini.
Menurutnya, pertukaran tarikh itu menyebabkan struktur perlawanan yang telah diatur rapi sedikit terganggu.
"Bagaimanapun, perkara ini tidak mematahkan semangat saya dan pasukan kerana sudah masak dengan gelagat Myanmar yang gemar membuat kejutan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk sempena majlis penganugerahan Hari Kelahiran Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob Ke-75 di Seri Negeri di sini, semalam.
Justeru, jelas Kim Swee, para pemain diingatkan supaya dapat menggunakan sebaik-baiknya baki tempoh selama kira-kira sebulan setengah sebelum perlawanan bagi meningkatkan moral serta kecergasan fizikal masing-masing.
"Setakat ini, semua pemain tidak menghadapi masalah walaupun jadual sudah bertukar. Namun, apa yang penting adalah sasaran utama kita untuk tahun ini iaitu bola sepak," katanya.
Jelas beliau, para pemainnya kini sedang menjalani latihan seperti biasa dan mereka bakal mengharungi perlawanan persahabatan di Jordan pada bulan hadapan.
Dalam pada itu, anugerah Datuk yang diterima Kim Swee amat bermakna kepadanya yang juga merupakan anak kelahiran Melaka.
"Saya mengucapkan terima kasih pada Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob dan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron atas darjah kebesaran ini.
"Sudah tentu anugerah ini akan memberi lebih motivasi untuk saya berusaha demi memajukan bidang bola sepak di negara kita," tambahnya.


RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131014/su_05/Semangat-Harimau-Muda-tetap-menyala#ixzz2hfyEetNS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment