Ad

Friday, 11 October 2013

Negara hamba abdi saman Britain, Belanda, Perancis

London: Britain bersama Perancis dan Belanda menghadapi saman 14 negara Carribbean yang menuntut pampasan berbilion pound sterling kerana menjadikan penduduk mereka sebagai hamba. 

Selepas 175 tahun Britain membebaskan hamba di West Indies, negara Caribbean berkenaan menuntut pampasan itu kerana menjadi mangsa urus niaga perhambaan. 
Caricom, kumpulan 12 bekas jajahan Britain bersama bekas jajahan Perancis - Haiti, dan bekas jajahan Belanda, Suriname, percaya kerajaan Eropah perlu membayar pampasan, terutamanya Britain. 


Mereka mendapatkan khidmat firma guaman Britain, Leigh Day, yang baru-baru ini menang pampasan untuk beratus-ratus warga Kenya yang diseksa kerajaan imperialis Britain ketika pemberontakan Mau Mau pada 1950-an. 

Caricom tidak menyatakan berapa banyak pampasan yang mereka mahu tuntut tetapi pegawai kanan merujuk kepada £20 juta (RM100 juta) yang diberi Britain kepada pemilik hamba apabila ia memansuhkan perdagangan itu pada 1834. 

Angka itu sama nilai dengan £200 bilion (RM1 trilion) pada hari ini. 

Di Amerika Syarikat, idea mengenai bayaran pampasan kepada mangsa perhambaan beberapa kali ditimbulkan sejak bertahun lalu tetapi tidak pernah menjadi kenyataan. 

Obama tolak pampasan 

Pada akhir Perang Saudara, 400,000 ekar (161,700 hektar) tanah di Florida, Georgia dan Carolina Selatan diambil daripada bekas pemilik hamba untuk diberi kepada hamba yang bebas. 

Tetapi, keputusan itu ditarik balik Presiden Andrew Johnson selepas Presiden Abraham Lincoln dibunuh pada 1865, lapor Al Jazeera America. 

Pada 2008, Barack Obama berkata, beliau tidak menyokong pampasan diberi kepada pewaris hamba, pendirian yang berbeza daripada 24 anggota Kongres yang menaja rang undang-undang untuk membentuk suruhanjaya mengenai perhambaan. 


Pada tahun sama, Kongres meminta maaf kepada mangsa perhambaan disusuli dengan Senat pada 2009 tetapi kedua-duanya tidak menyebut mengenai pampasan. - AGENSI

No comments:

Post a Comment