Ad

Sunday 13 October 2013

'Video Siam' senjata baharu Rajagobal

PETALING JAYA - Skuad Harimau Malaya bakal 'bersenjatakan' maklumat daripada video perlawanan persahabatan Bahrain dengan Thailand, baru-baru ini, apabila mengharungi pasukan Asia Barat itu dalam Kumpulan D Kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam, esok.
Corak permainan dan susunan pemain Bahrain termasuk ketika menentang Yemen dan Qatar dalam kumpulan ini, diyakini ketua jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal mampu menambah ramuan persediaan anak buahnya dalam menjayakan misi memburu mata penuh.
"Saya tahu mereka juga ada pemain naturalisasi (dalam video itu) dan ketika saya dengan (penolong, Tan Cheng Hoe) bertandang untuk tengok Piala Teluk. Jadi kita tahu bagaimana mereka bermain, kumpul maklumat siapa cedera, siapa tidak bermain.
"Menerusi maklumat ini, saya berikan kepada pemain dan mereka perlu sedar apa yang patut buat dan apa kehendak apabila ke perlawanan itu dan sentiasa kena ada keyakinan untuk menang," katanya sebelum sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini, semalam.
Salah seorang penyerang naturalisasi Bahrain ialah Jaycee Okwunwanne, 28, kelahiran Nigeria, yang pernah menjaringkan gol ketika mereka membelasah Malaysia 4-1 dalam pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2010 di Manama, enam tahun lalu.
Bagi bek tengah, Amiridzwan Taj Tajudin, maklumat sesi video dalam perlawanan yang dimenangi Thailand 1-0 itu menjelaskan kepadanya bahawa Bahrain lebih gemar bermain corak hantaran pendek dan hanya sesekali mengumpan jauh kepada penyerang mereka.
"Kami sudah nampak corak permainan umpanan pendek mereka selain siapa pemain dan kelebihan masing-masing," katanya yang dijangka membarisi kesebelasan utama dengan Mohamad Aidil Zafuan Abd. Radzak untuk menghadapi skuad Al Ahmar (Si Merah) itu.
Sementara itu, pengurus pasukan, Datuk Seri Subahan Kamal memohon ribuan penyokong Malaysia tetap datang ke Stadium Shah Alam untuk memberikan mereka sokongan perangsang kepada pasukan walaupun esok juga merupakan cuti Hari Raya Aidiladha.


rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131014/su_04/Video-Siam-senjata-baharu-Rajagobal#ixzz2hfvp59ch
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment