Ad

Friday 11 October 2013

Bakal jemaah banjiri kota Mekah

SEJUMLAH bakal haji keluar selepas mereka mengerjakan solat Jumaat di Masjidilharam di Mekah semalam.


MEKAH - Beratus-ratus ribu orang Islam mula membanjiri kota suci ini sebelum ibadah haji bermula selepas kerajaan Arab Saudi mengeluarkan amaran keras supaya perhimpunan terbesar di dunia itu tidak dipolitikkan.
Dua hari sebelum musim haji bermula, sekitar sejuta penganut Islam mengerjakan solat Jumaat di Masjidilharam.
Imam solat Jumaat berkenaan, Sheikh Saleh bin Mohammed Al-Taleb meminta ibadah haji kali ini berjalan dengan aman dan tenteram.
Beliau turut meminta umat Islam supaya bersatu dan berhenti daripada bertelingkah sesama sendiri.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa meningkatkan persediaan dengan pihak polis menutup sebahagian besar pintu masuk ke Masjidilharam daripada dilalui kenderaan awam.
Ibadah haji termasuk dalam Rukun Islam dan wajib dikerjakan sekali dalam seumur hidup orang Islam yang berkemampuan.
"Saya amat teruja dan amat gembira. Saya berasa diri saya amat bertuah kerana dapat mengerjakan haji," kata seorang kakitangan kerajaan berusia 56 tahun dari Malaysia, Hamza Suleiman.
"Saya mendaftar untuk mengerjakan haji 10 tahun lalu dan tahun ini giliran saya telah tiba. Saya sebenarnya mahu melawat tempat suci ini pada setiap tahun," ujarnya kepada agensi berita AFP di pekarangan Masjidilharam.
Seorang ahli perniagaan Mesir, Ahmad al-Bahrawi pula memberitahu: "Ia merupakan satu perasaan yang tidak dapat diungkapkan apabila saya memasuki Masjidilharam dan melihat Kaabah.
Ahmad yang ditemani oleh isterinya mengerjakan ibadah haji untuk kali keenam pada tahun ini.
Berikutan kebimbangan berhubung virus Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS) yang telah menyebabkan 51 kematian di Arab Saudi dan pencemaran asap kenderaan, sejumlah jemaah dan pengawal keselamatan memakai penutup muka.
Mereka turut menutup kepala untuk berlindung daripada cuaca panas.
Menteri Kesihatan Arab Saudi, Abdullah Al-Rabaia dipetik sebagai memberitahu kelmarin bahawa tiada kes MERS yang dilaporkan dalam kalangan jemaah.
Beberapa pegawai berkata, sekitar 1.4 juta jemaah telah tiba dari luar negara.
Pihak berkuasa menjangka sejumlah dua juta jemaah akan melakukan ibadah haji pada tahun ini.
Angka tersebut jauh menurun berbanding jumlah 3.2 juta jemaah pada tahun lalu.
Pengurangan itu antara lain berpunca daripada kerja pembesaran di kawasan sekitar Masjidilharam dan kebimbangan tentang wabak SARS.
Sekatan jalan raya diadakan di semua laluan menuju ke tempat suci itu oleh pihak berkuasa bagi memastikan jemaah yang tidak mempunyai permit haji diarah supaya berpatah balik.
Ketika pergolakan terus melanda dunia Arab, Menteri Dalam Negeri, Putera Mohamed bin Nayef memberi amaran kepada para jemaah agar tidak mengeksploitasi ibadah haji untuk kepentingan politik.
"Negara ini mengambil serius semua kemungkinan terutamanya apabila Arab Saudi dijadikan sasaran kempen pengganas sejak kebelakangan ini termasuk kota suci ini," katanya.
"Haji bukan tempat untuk pertelingkahan politik dan perbezaan mazhab," tambah menteri berkenaan.
Ibadah haji tahun ini bermula esok dan berakhir pada 18 Oktober ini.
Pihak berkuasa Arab Saudi mengerahkan seramai 95,000 anggota pasukan keselamatan untuk membantu Kementerian Pertahanan dan perisikan bagi memastikan musim haji kali ini berjalan lancar.
"Pemerintah Arab Saudi juga meluluskan kewujudan 40,000 anggota pasukan khas untuk mengawal keselamatan pada musim haji," katanya. - AFP


RUJUKAN: http://www.kosmo.com.my/kosmo/12.10.13

No comments:

Post a Comment