Ad

Monday, 14 October 2013

Maafkan saya, tangan saya terlalu sakit - Zulfahmi


SEPANG - Rasa sakit pada bahagian pergelangan tangan kanan mendorong pelumba Moto3, Zulfahmi Khairuddin menarik diri daripada perlumbaan Grand Prix Malaysia, semalam.
Kata Zulfahmi, rasa sakit akibat geseran antara skru yang ditanam pada tulangnya sewaktu pembedahan minggu lalu dengan tulang pergelangan tangan kanan hingga menyebabkannya sukar memulas minyak dan menekan brek dengan baik ketika sesi pemanas badan.
Malah, penunggang Red Bull KTM Ajo itu dengan rasa rendah diri turut memohon maaf atas keputusannya itu kerana tidak mahu membahayakan dirinya dan pelumba lain.
“Hari ini sahaja saya sudah mengambil tujuh kali suntikan ubat penahan sakit namun tetap tidak dapat menghilangkan rasa sakit pada bahagian pembedahan.
“Selepas sesi pemanas badan pagi tadi (semalam) doktor telah menyarankan saya untuk tidak berlumba dan selepas berfikir panjang saya pilih untuk berehat.
“Saya harap penyokong faham dengan situasi yang saya alami ketika ini meminta mereka untuk terus memberikan sokongan kepada saya," kata Zulfahmi.
Sebelum perlumbaan Moto3 bermula, Zulfahmi dilihat berdiri di atas petak ke-14 litar iaitu tempat yang sepatutnya pelumba itu bermula dan telah memohon maaf dengan isyarat tangan kepada penonton di Litar Antarabangsa Sepang dan turut memberikan sokongan kepada rakan sepasukannya Luis Salom.
Zulfahmi mengalami kecederaan pada pergelangan tangannya itu selepas terlibat dalam kemalangan pada aksi perlumbaan di Grand Prix Aragon, Sepanyol pada 29 September lalu.
Kecederaan pelumba itu mendapat reaksi pelbagai pihak, malah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz turut menasihatkan Zulfahmi agar berehat dan tidak berlumba di Grand Prix Malaysia.
Dalam pada itu, Zulfahmi berharap kecederaannya itu dapat pulih dengan cepat bagi membolehkannya meneruskan aksi pada Grand Prix Australia, 20 Oktober ini.
“Penting kini saya mengikut segala arahan doktor untuk memastikan kecederaan ini dapat pulih lebih cepat kerana ketika ini masih ada tiga lagi baki pusingan perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia," kata Zulfahmi.
Sementara itu, pada perlumbaan Moto3, semalam menyaksikan Salom berjaya meraih gelaran pada GP Malaysia 2013 dengan catatan masa 40 minit 42.441 saat.
Tempat kedua milik pelumba daripada pasukan Estrella Galicia 0,0, Alex Rins yang ketinggalan 0.069s di belakang Salom dan ketiga diraih Miguel Oliveira daripada Mahindra Racing.RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131014/su_07/Maafkan-saya-tangan-saya-terlalu-sakit---Zulfahmi#ixzz2hg46dRdx 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment