Ad

Saturday, 5 October 2013

Jawatankuasa khas ditubuh kaji kemalangan atlet basikal

SETIU - Kerajaan negeri Terengganu akan menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengkaji kemalangan yang melibatkan atlet lumba basikalnya, kata Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan dan Sumber Manusia Negeri Rozi Mamat.
Beliau berkata, jawatankuasa itu yang akan terdiri daripada pihak dalam dan luar akan dikelolakan oleh Majlis Sukan Negeri (MSN).
Rabu lepas, atlet berbasikal Mohamad Asmu'i Ali @ Awang, 20, maut setelah terbabit dalam kemalangan jalan raya semasa menjalani latihan, insiden kedua selepas kejadian 5 Jun lalu yang turut meragut nyawa atlet pelapis bawah 15 tahun Muhammad Syafiq Imran Syahril.
"Kerajaan negeri sangat terasa kerana kemalangan itu berlaku dalam tempoh empat bulan daripada tragedi pertama. Kita telah mengambil beberapa langkah keselamatan tetapi kemalangan tetap berlaku.
"Sehubungan itu saya mengharapkan atlet, pegawai malah persatuan sendiri supaya lebih berhati-hati dan keselamatan atlet hendaklah menjadi keutamaan dalam kita mengejar kejayaan," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kemalangan seumpama itu tidak dapat dielak kerana pelumba berlatih di jalan raya yang terdedah kepada risiko.
Rozi berkata, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said akan menyampaikan sumbangan kepada keluarga Allahyarham Mohamad Asmu'i. - Bernama


RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131006/su_05/Jawatankuasa-khas-ditubuh-kaji-kemalangan-atlet-basikal#ixzz2gtVlj7W9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment