Ad

Saturday, 5 October 2013

Sekali air bah, sekali pasir berubah

Oleh Shamsul Amri Baharuddin
PERHIMPUNAN Agung UMNO kali ini bukan sahaja dirasakan oleh pucuk pimpinan parti malah gegarannya sampai ke akar umbi.
BUAT masa ini orang Melayu berpecah kepada tiga: sebahagian besar menyokong UMNO, bersaiz sederhana menyokong PKR dan sedikit kecil daripada itu menyokong PAS.
Golongan yang menyokong UMNO ini telah membawa kejayaan kepada BN pada PRU-13 lalu dengan memilih 88 calon UMNO menjadi ahli Parlimen dan 244 kawasan DUN.
Maka UMNO di bawah Datuk Seri Najib Razak telah meningkat kerusi Parlimen dan DUN berbanding dengan keputusan PRU-12 pada 2008. Ertinya, UMNO di bawah Najib menyumbang 66 peratus atau dua pertiga, daripada kerusi yang dimenangi BN.
Kecuali Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Sarawak, yang memperoleh 14 kerusi Parlimen, sembilan parti lain dalam BN hanya memperoleh antara satu ke tujuh kerusi sahaja. Dalam kata lain, tanpa UMNO, BN telah tewas dan tidak memerintah lagi di Malaysia.
Yang lebih signifikan lagi ialah faktor bahawa UMNO menang biarpun pengundi Melayu tidak merupakan majoriti pengundi terdaftar dalam beberapa negeri.
Bayangkan, kalau diwajibkan semua orang Melayu yang layak mengundi didaftarkan dan keluar mengundi, UMNO akan menang lebih banyak lagi kerusi, malah mungkin kesemua 120 kerusi Parlimen yang ditandingi pada PRU-13.
Berbanding dengan pengundi Cina yang lebih ramai telah mendaftar dan dalam PRU-13 majoriti daripada mereka telah habis-habisan mengundi DAP dan sebilangan kecil PKR dengan penuh harapan untuk membawa kemenangan kepada Pakatan Rakyat (PR), pun akhirnya tersungkur di pintu kekecewaan kerana tidak mampu menjatuhkan kerajaan BN.
Ilusi
Yang merasakan denyutan kekecewaan yang tak terhingga adalah Anwar Ibrahim yang sehingga sekarang masih dihantui ilusi kemenangan kerana menerima kelebihan undi, sedangkan dia tahu benar bahawa bilangan kerusi adalah satu-satunya penentu kemenangan, semenjak PRU pertama pada 1959.
UMNO, dengan itu, tetap dan terus menjadi penentu dan pentakrif lanskap politik Malaysia. Oleh yang demikian, pilihan raya atau pemilihan UMNO juga menjadi penentu dan pentakrif landskap politik negara kita berdasarkan tiga fakta.
Pertama, dalam PRU-13 seramai 332 wakil rakyat yang terpilih adalah pemimpin UMNO, 88 di Parlimen dan 244 di DUN. Justeru itu, UMNO pemenang terbanyak kerusi Parlimen campur DUN.
Kedua, fakta sejarah membuktikan bahawa semenjak merdeka pimpinan UMNO yang terpilih nanti, termasuk dalam pemilihan UMNO 2013 ini, sama ada Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, anggota Majlis Tertinggi, barisan pimpinan dalam Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO adalah pemegang kedudukan, atau bakal menjadi, menteri dan timbalan menteri Kabinet, menteri besar, ahli Exco DUN, setiausaha Parlimen, setiausaha politik, pegawai khas, pimpinan korporat swasta dan GLC, menjadi diplomat, penasihat khas kepada kerajaan, pengerusi badan-badan sukan, dan ratusan lagi jawatan yang berpengaruh dalam bidang politik, sosial dan ekonomi dalam seluruh negara dan juga menjangkau ke luar negeri.
Ketiga, selagi BN menang, selagi itulah UMNO kekal menjadi parti peneraju kerajaan dan negara, apatah lagi kalau UMNO menang besar.
Bermacam label negatif diberikan pada UMNO untuk menimbulkan kebencian terhadap UMNO oleh pelbagai pihak, sama ada mereka daripada pihak pembangkang, penyokongnya dan mereka yang taksub dengan pemimpin pembangkang yang kebanyakan pancit modal.
Gegaran
Label seperti, "UMNO racist," "UMNO supremacist" dan pelbagai gelaran lain yang menjijikkan muncul yang hanya boleh dibuat oleh kelompok yang sangat jijik pegangan politik dan peribadi mereka.
Sistem pilihan raya UMNO pada 2013 sudah berubah. Dulu hanya 2,500 orang perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO memilih pucuk pimpinan UMNO.
Kali ini kira-kira 146,000 pimpinan UMNO, iaitu di peringkat Bahagian (191) dan Cawangan (20,080) yang melibatkan bukan hanya pimpinan UMNO arus perdana, tetapi juga Wanita, Pemuda, dan Puteri.
Kali ini pilihan raya UMNO ternyata sibuk, macam bazar ramadan. Daripada pucuk pimpinan sehingga ke lapisan akar umbi merasakan gegaran, keghairahan dan getaran yang menguja.
Kalau dulu hanya di Perhimpunan Agung di Kuala Lumpur sahaja yang terasa meriahnya. Kali ini, Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur adalah benar-benar kemuncaknya.
Salah satu perkara yang membuat pilihan di akar umbi bergetar dan bergegar kerana kononnya ada arahan daripada 'atas' supaya memilih calon-calon tertentu yang ingin mengekalkan kedudukan masing-masing.
Perangai ini tidak disukai oleh ahli UMNO semenjak dulu lagi. Pernah Tun Mahathir semasa jadi Presiden UMNO memberi amanat supaya memilih pemimpin yang Bersih, Cekap dan Amanah.
Ternyata ahli-ahli UMNO memilih siapa yang mereka suka tanpa mengambil kira kriteria peribadi yang diuar-uarkan oleh Presidennya.
Yang paling mencabar pada ahli UMNO kali ini ialah untuk memahami peraturan dan proses pencalonan dan pemilihan.
Majoriti ahli UMNO masih gelap dan tertanya-tanya biarpun maklumat terperinci diberikan dalam UMNO online.
Mereka yang berminat nak bertanding pun, masih belajar biar pun sedang berlari.
Bak kata seorang ahli veteran Wanita UMNO, yang speaking, katanya sambil berseloroh sekali gus mengeluh, "bilalah mak cik nak baca UMNO online, sibuk mengampai baju on clothes line, dulu untuk anak mak cik, sekarang cucu mak cik, bilalah nak habis kerja mak cik ni…"
Sudah ada desas desus di peringkat akar umbi yang bertanya tentang daftar pengundi, tentang senarai keanggotaan dan perlunya dikemaskini kerana terdapat nama-nama mereka yang sudah berhijrah ke parti lawan dan tak kurang juga bilangan yang sudah meninggal dunia.
Apakah ini bermakna tanpa berlaku secara terbuka menyerapnya ke dalam pilihan raya UMNO nilai-nilai 'demokratis' yang dianjurkan oleh BERSIH? Apakah akhirnya pilihan raya UMNO akan jadi lebih 'bersih' daripada 'pilihan raya umum'?
Apakah ini bermakna bahawa pilihan raya UMNO akan benar-benar mentakrif landskap politik negara?
Soalan-soalan ini akan timbul dan mungkin terjawab serba sedikit, selepas pilihan raya UMNO ini selesai.


RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131006/re_01/Sekali-air-bah-sekali-pasir-berubah#ixzz2gu080VXw
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment