Ad

Wednesday 9 October 2013

Fikir masak-masak pilih pasukan mana - Kim Swee

PETALING JAYA - Kebebasan telah diberi. Sekarang semuanya terserah kepada enam tonggak Harimau Muda A untuk membuat keputusan tentang masa depan mereka sama ada mahu kekal setahun lagi bersama pasukan itu atau memilih haluan baharu.
Mohd. Irfan Fazail, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Muhd. Fadhli Shas, Mohd. Izham Tarmizi Roslan, A. Thamil Arasu dan Ahmad Hazwan Bakri semuanya diberi masa sehingga akhir bulan ini untuk mencapai keputusan dengan pasukan yang hendak mereka wakili.
Pengendali Harimau Muda A, Ong Kim Swee menegaskan, beliau mahu semua pemain terbabit menyelesaikan isu mengenai masa depan mereka dengan segera supaya fokus mereka bagi menghadapi Sukan SEA Myanmar, Disember ini tidak terganggu.
Begitupun kata Kim Swee, semua pemain ini perlu memberikan keutamaan kepada negeri di mana mereka berasal, dan seandainya mereka mahu bermain dengan pasukan atau kelab lain, maka mereka perlu mendapatkan pelepasan daripada persatuan bola sepak negeri terbabit.
Kim Swee ketika mengumumkan senarai pemain yang akan dikekal dan dilepaskan untuk tahun 2014-2015 berkata, beliau tidak mahu hanya melepaskan pemain tertentu sahaja kerana enggan dianggap sebagai bersikap berat sebelah.
"Semua pemain ini berusia 22 tahun dan boleh bersama Harimau Muda dalam masa setahun lagi jika mereka berminat untuk meneruskan aksi bersama pasukan ini, jadi pilihan di tangan mereka. Saya memberi ruang kepada mereka untuk mengadakan perbincangan bersama pasukan-pasukan yang berminat.
"Namun, saya mahu mereka selesaikan segalanya pada penghujung Oktober ini supaya kita dapat memberikan tumpuan pada Sukan SEA serta persiapan yang kita akan lakukan sepanjang November, saya tidak mahu fokus pemain saya terganggu dengan perkara-perkara sebegini.
"Banyak tawaran saya terima setakat ini untuk enam pemain ini, termasuk dari luar negara, namun mereka kena pulang ke negeri asal untuk berbincang terlebih dahulu," kata Kim Swee di Wisma FAM, semalam.
Pada masa yang sama, Kim Swee turut memberi peringatan kepada pemain-pemainnya agar memikirkan mengenai masa depan mereka dengan sedalam-dalamnya dan tidak membuat keputusan hanya kerana teruja dengan gaji lumayan yang ditawarkan.
Apa yang penting, mereka harus memastikan peluang untuk beraksi sentiasa cerah jika menyertai pasukan baharu.
Paling utama katanya, semua pemain ini harus mengekalkan disiplin yang telah diterapkan ketika bersama Harimau Muda dan mengambil iktibar daripada apa yang terjadi kepada bekas pemain Harimau Muda yang kini tenggelam dan dilanda kemerosotan prestasi sebaik sahaja menyertai pasukan negeri atau kelab.
"Jika mereka memilih jalan untuk keluar daripada pasukan Harimau Muda, saya mahu nasihatkan mereka agar berusaha mendapat tempat dalam kesebelasan utama.
"Paling mustahak kekalkan tahap disiplin. Memang berlaku kepada beberapa pemain yang dilepaskan untuk pulang beraksi dengan pasukan negeri masing-masing tidak menunjukkan prestasi yang baik," katanya,


RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131009/su_05/Fikir-masak-masak-pilih-pasukan-mana---Kim-Swee#ixzz2hDXvpUHf
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment