Ad

Saturday, 5 October 2013

Zaqhwan terpantas di Temerloh

ZAQHWAN mencatat masa terpantas pada sesi ujian masa semalam.


MOHD. Zaqhwan Zaidi sekali lagi membuktikan kehebatannya setelah muncul pelumba terpantas pada sesi ujian masa kategori CP130 pada Pusingan 7 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berlangsung di Temerloh, Pahang semalam.
Pelumba pasukan Givi Honda Yuzy Pachie itu mencatatkan masa terpantas 49.227s, mengatasi catatan kedua terpantas yang dilakukan Mohd. Ramdan Mohd. Rosli (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) yang merakamkan masa terbaik 49.537s.
Sementara itu, Mohd. Affendi Rosli (Y-TEQ SCK Honda Racing) mencatat masa ketiga terpantas, 49.587s.
Untuk rekod, sepanjang tujuh pusingan perlumbaan, ini merupakan catatan masa terpantas yang kelima buat pelumba berusia 19 tahun itu selepas muncul pelumba terpantas ujian masa empat kali berturut-turut bermula dari pusingan kedua di Melaka, Pusingan 3 (Terengganu), Pusingan 4 (Muar) dan Pusingan 5 (Teluk Intan).
"Keadaan jentera saya cukup baik pada hari ini (semalam). Semuanya mengikut spesifikasi yang saya kehendaki. Jadi saya sangat gembira dengan catatan yang dilakukan apatah lagi perlumbaan berlangsung di litar yang baharu. Melihat kepada keadaan jentera saya hari ini 9semalam), jika tidak ada sebarang masalah lain, saya yakin untuk mencatat masa terpantas pada sesi Superpole esok (hari ini)," jelasnya.
Mengulas tentang litar yang pertama kali disenaraikan dalam kalendar Cub Prix pada tahun ini, Zaqhwan berkata: "Keadaan litar agak mencabar namun pada masa sama, saya juga sukakannya. Keadaan litar yang lebar memberi banyak kelebihan kepada saya terutama ketika di laluan lurus. Cuma, saya perlu lebih berhati-hati kerana terdapat beberapa selekoh yang agak licin. Saya berharap dapat mencipta nama sebagai juara pertama di litar ini."
Sementara itu, dua pelumba Motul Yamaha YY Pang Racing, Mohd. Izzat Zaidi Mohd. Salehan dan Ahmad Abdul Kadir mencipta kejutan apabila berjaya mendahului sesi ujian masa bagi kategori CP115.
Kedua-duanya yang beraksi dalam Kumpulan A mencatatkan masa terpantas 49.894s dan 50.314s mengatasi Mohd. Hafiz Nor Azman (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) yang beraksi dalam sesi ujian masa Kumpulan B di kedudukan ketiga dengan catatan terbaik 50.331s.
Dalam kategori Wira, Khairul Idham Pawi (Hyperspeed YAM Honda Racing) muncul pelumba terpantas dengan catatan 50.843s mengatasi dua pelumba Warner Pumps-YSP, Mohd. Shafiq Rasol dan Mohd. Hafiza Rofa.
Shafiq merakamkan masa kedua terpantas dengan catatan 51.033s sambil Hafiza mengekori di belakang dengan catatan 51.527s.


RUJUKAN: http://www.kosmo.com.my/kosmo/6.10.13

No comments:

Post a Comment