Ad

Saturday, 5 October 2013

Kelantan, Sarawak lengkap kuota

Penyerang import Sarawak, Muamer Salibasic (kanan) diasak pemain Sime Darby, Juzaili Samion pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Negeri, Kuching, malam tadi. Sarawak menang 3-1. - MINGGUAN/MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA
KUALA LUMPUR - Juara bertahan, Kelantan melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Malaysia, semalam selepas mengamuk di Stadium Sultan Muhammad Ke IV dengan membelasah Johor Darul Takzim (Johor DT) 6-1 pada suku akhir kedua bagi melayakkan diri secara agregat 8-5.
Turut mengiringi Kelantan adalah juara Liga Perdana, Sarawak yang mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Sime Darby di Stadium Negeri, Kuching bagi menempah pertemuan dengan Pahang sementara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menjadi lawan Red Warriors dalam satu lagi saingan separuh akhir.
Walaupun tumbang 2-4 di Larkin pada suku akhir pertama yang lalu, Red Warriors membuktikan Kota Bharu adalah gelanggang keramat buat mereka apabila langsung tidak memberikan sebarang ruang kepada Johor DT untuk bernafas selepas melancarkan serangan bertalu-talu sejak awal permainan.
Skuad kendalian Bojan Hodak memulakan kenduri gol mereka melalui pemain sayap, Mohd. Norfarhan Mohamad pada minit ke 19 hasil rembatan deras yang mengenai palang sebelum melantun masuk ke penjuru kanan gawang Harimau Selatan yang dikawal oleh penjaga gol pilihan kedua, Zulfadli Mohamed.
Dua belas minit kemudian, ketua pasukan, Mohd. Badri Radzi menggandakan kelebihan buat tuan rumah ekoran kegagalan bek kanan Johor DT, Nazri Ahmad yang gagal menanduk keluar bola dari kawasan penalti sebelum dia melepaskan rembatan voli dari jarak dekat berhampiran pintu gol Johor DT.
Penyerang kebangsaan, Safee Sali memberikan harapan kepada pasukan JDT apabila berjaya menyumbat gol pada minit ke 41 namun ia gagal membangkitkan semangat pasukannya apabila hanya empat minit selepas itu, Obinna Nwaneri pula yang berjaya merobek gol pelawat sebelum babak pertama berakhir.
Permulaan separuh masa kedua kekal dengan skrip sama apabila Kelantan terus bernafsu dan berjaya memperoleh gol keempat, satu minit selepas sepak mula melalui tandukan Nwakame hasil hantaran Indra Putra dan Norfarhan sekali lagi menjadi duri dalam daging buat pertahanan Johor DT apabila menambah jaringan tuan rumah pada minit ke-62.
Indra Putra Mahayuddin juga tidak ketinggalan berada dalam senarai penjaring apabila melengkapkan malam yang cukup indah buat semua penyokong Kelantan pada minit ke 88 manakala Harimau Selatan balik ke Johor Bahru dalam keadaan cukup terluka.
Pemain import dari Bosnia, Muamer Salibasic, meledak jaringan hatrik bagi membantu Sarawak yang bangkit daripada ketinggalan apabila Sime Darby terlebih dahulu memimpin perlawanan melalui jaringan Mohd. Asrol Ibrahim pada minit ke-3.
Bujang Senang bagaimanapun tidak tertekan walaupun pelawat terlebih dahulu mendapatkan gol di tempat lawan, sebaliknya Salibasic ada formula tersendiri bagi mendapatkan jaringan penyamaan pada minit ke-27 dan meletakkan Sarawak di hadapan buat kali pertama pada minit ke-55 berpunca daripada situasi sepakan percuma.
Salibasic akhirnya memastikan tiket separuh akhir menjadi milik Sarawak apabila lima minit sebelum permainan tamat, hasil gerakan dengan Booby Gonzales, dia merakamkan jaringan hatrik dengan penuh bergaya sekali gus membuatkan kira-kira 30,000 penonton setia Bujang Senang pulang dengan gembira.


rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131006/su_01/Kelantan-Sarawak-lengkap-kuota#ixzz2gtSCzseW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment