Ad

Tuesday, 15 October 2013

'Satu mata amat bernilai'

AZAMUDDIN (kiri) dicabar pertahanan Bahrain, Waleed Al Hayam pada aksi di Shah Alam malam tadi.


SKUAD Harimau Malaya memastikan slot automatik Piala Asia 2015 masih berada dalam genggaman selepas melakar keputusan seri 1-1 dengan Bahrain pada aksi kelayakan Kumpulan D di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Norshahrul Idlan Talaha muncul penyelamat apabila menjaringkan gol penyamaan Harimau Malaya, sekali gus memadamkan kelebihan awal Bahrain yang diperoleh menerusi jaringan Abdulla Ahmed Saleh Abdulla Aman.
Dalam tempoh 45 minit pertama perlawanan, Harimau Malaya terlebih dulu menguji benteng pertahanan Bahrain menerusi percubaan pemain sayap lincah, Azamuddin Akil pada minit ke-20.
Begitupun, percubaan Azamuddin berjaya didakap kemas oleh penjaga gol Bahrain, Sayed Mohamed Jaafar.
Kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim hampir berjaya membuka tirai jaringan, namun percubaannya dinafikan Sayed pada minit ke-42.
Berselang tiga minit kemudian, Harimau Malaya dihukum apabila Abdulla Ahmed meletakkan Bahrain di depan menerusi jaringan dari luar kotak penalti.
Bersambung babak kedua, Harimau Malaya kembali mengatur serangan dan mengasak kubu pertahanan Bahrain bagi memburu gol penyamaan.
Usaha keras mereka akhirnya berbaloi apabila Norshahrul berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-70.
Hasil satu serangan ke kubu lawan, Norshahrul bijak melakukan rembatan kencang dari luar kotak penalti bagi menewaskan Sayed.
Jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal berkata, beliau sangat berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh anak-anak buahnya dalam perlawanan itu.
Katanya, jika mereka turun dengan keyakinan serta kesungguhan yang tinggi, tidak mustahil anak-anak buahnya mampu mencapai keputusan positif.
"Saya memuji kesungguhan semua pemain dan jika mereka turun dengan keyakinan, pasti mereka mampu melakar keputusan positif.
"Satu mata sangat bernilai bagi kami dan kami perlu bekerja keras sebelum bertandang ke Bahrain nanti," katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/16.10.13

No comments:

Post a Comment