Ad

Friday 11 October 2013

Kesakitan pinggang iringi aksi Zulfahmi

Zulfahmi Khairuddin
SEPANG - Rasa sakit di tangan sudah berkurangan tetapi kini sakit di bahagian belakang pinggang pula menghantui pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin pada hari pertama Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia 2013 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), semalam.
Zulfahmi turut mengakui rasa sakit tersebut yang berpunca daripada kemalangan di GP Aragon, Sepanyol hujung bulan lepas amat menyakitkan berbanding kecederaan di bahagian tangannya.
Tambah Zulfahmi, kini dirinya terpaksa bergantung kepada ubat penahan sakit untuk mengurangkan kesakitan tersebut bagi membolehkannya meneruskan perlumbaan hingga esok.
Malah penunggang pasukan Red Bull KTM Ajo itu, tetap bertegas dengan pendiriannya untuk terus kekal berlumba hujung minggu ini.
“Kesakitan di bahagian belakang pinggang memang tidak saya jangkakan kerana saya fikir ia telah pulih selepas membuang darah beku akibat kemalangan hujung bulan lepas.
“Saya akan merasa kesakitan itu apabila menegakkan badan ketika berlumba hingga menyebabkan saya memilih untuk berehat lebih lama di pitstop pada sesi latihan bebas kedua.
“Saya percaya doktor perubatan di sini akan berusaha untuk mengatasi masalah kesakitan ini dan berharap esok (hari ini) semuanya akan berjalan dengan lancar," kata Zulfahmi.
Pada 29 September lalu, Zulfahmi mengalami kecederaan pada pergelangan tangannya selepas terlibat dalam kemalangan pada aksi perlumbaan di Grand Prix Aragon, Sepanyol.
Kemalangan tersebut menyebabkan pelumba itu terpaksa menjalani pembedahan pada bahagian tangan kanannya di Sepanyol sebelum kembali ke Malaysia untuk aksi hujung minggu ini.
Sementara itu, pada aksi latihan bebas semalam, menyaksikan aksi kurang konsisten Zulfahmi apabila tidak berupaya mengatasi catatan masa pada sesi latihan bebas pertama iaitu 2 minit 16.852 saat sewaktu latihan bebas kedua (2:18.610s) yang berlangsung ketika litar basah akibat hujan di sebelah petang.


RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131012/su_03/Kesakitan-pinggang-iringi-aksi-Zulfahmi#ixzz2hSeSQLA6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment