Ad

Saturday, 5 October 2013

Nasib Koo-Tan masih tergantung

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

Koo Kien Keat
SUBANG JAYA - Penyertaan pasangan utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada Sukan SEA Nay Pyi Taw, Disember ini banyak bergantung kepada sejauh mana pencapaian mereka dalam empat kejohanan terbuka antarabangsa untuk layak ke pusingan akhir Siri Super Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Setakat ini hanya perseorangan utama, Datuk Lee Chong Wei yang menolak ke Sukan SEA untuk hanya menumpukan Siri Super, namun Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mahu menilai prestasi beregu itu dalam Terbuka Denmark, Perancis, China dan Hong Kong terlebih dulu.
Presiden BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff berkata, Chong Wei juga perlu berehat.
''Dia tidak mungkin boleh bermain (Sukan SEA).
"Namun, Kien Keat-Boon Heong perlu bergantung kepada kejohanan yang diambil mereka tidak lama lagi. Mereka memberi jaminan akan mencuba dulu (dapatkan keputusan cemerlang sekali gus layak ke Akhir Siri Super)," katanya selepas mesyuarat Majlis BAM di sini, semalam.
Pasangan itu yang berada di zon bahaya apabila kini hanya menduduki ranking kelapan dunia BWF, bakal beraksi dalam Terbuka Denmark di Odense (15 hingga 20 Oktober), Perancis (Paris, 22-27 Oktober), China (Shanghai, 12-17 November) dan Hong Kong (Kowloon, 19-24 November).
Tengku Mahaleel berkata, jika tanpa Chong Wei dan beregu itu, sukar untuk memastikan peluang skuad negara menjuarai sebarang kejohanan berpasukan besar antarabangsa seperti Sukan SEA, Piala Thomas, Sukan Asia dan Piala Sudirman.
"Kecuali kejohanan secara individu, sukar bagi kita untuk berjaya pada kejohanan berpasukan besar antarabangsa dengan pasukan yang kita ada sekarang. Proses berjayanya perlukan masa yang panjang, sekurang-kurangnya setahun," katanya.
Dalam perkembangan lain katanya, proses penilaian pemain berdasarkan nisbah menang kalah akan disiapkan Jumaat ini supaya BAM dapat menentukan kejohanan mana yang perlu dipilih bagi mencapai sasaran yang ditetapkan.
"Dengan penilaian pemain elit dan pelapis negara berdasarkan menang kalah, siap Jumaat ini, jurulatih mampu mengenal pasti kelemahan pemain sebelum kami cuba bawa mereka ke tahap sasaran itu," katanya.
Majlis BAM juga katanya, sudah mengenal pasti empat pemain yang bakal dibentuk menjadi juara dunia dalam program jangka panjang empat hingga lima tahun tetapi tidak boleh didedahkan sekarang kerana dikhuatiri akan mempengaruhi sikap dan kelakuan pemain.


rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131006/su_04/Nasib-Koo-Tan-masih-tergantung#ixzz2gtTg8Rxp
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment