Ad

Tuesday, 15 October 2013

Bahrain tak sekuat mana

Pemain Bahrain meraikan gol pembukaan mereka dalam saingan di Stadium Shah Alam yang berkesudahan seri 1-1.
SHAH ALAM - Tidak menang, namun ia masih mencukupi buat Harimau Malaya memastikan peluang ke Australia pada 2015 masih ada selepas mengikat pendahulu Kumpulan D, Bahrain 1-1 dalam saingan kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam, semalam.
Ketinggalan pada separuh masa pertama melalui gol Abdulla Ahmed Saleh Abdulla Aman pada minit ke-45, Norshahrul Idlan Talaha bagaimanapun memastikan impian Malaysia terus bernyala melalui jaringan penyamaan pada minit ke-70.
Kejayaan mengutip mata itu tetap dianggap cemerlang walaupun sebenarnya anak-anak buah Datuk K. Rajagobal mampu bergelar pemenang jika lebih bijak memanfaatkan peluang yang terhidang ketika lawan terkapai-kapai keletihan pada 10 minit terakhir permainan.
Sementara Bahrain pula dilihat tidaklah sehebat seperti mana digembar-gemburkan dengan Harimau Malaya jelas mampu menyaingi mereka daripada segenap aspek.
Selepas perlawanan ketiga semalam, Malaysia kekal berada di tangga ketiga dengan memungut empat mata, manakala Bahrain kekal selaku pendahulu apabila meraih tujuh mata diikuti Qatar, enam mata.
Malaysia bakal kembali berdepan Bahrain di Manama pada 15 November depan bagi perlawanan keempat, dan mereka wajib mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata jika mahu terus berada dalam saingan.
Pada perlawanan semalam, Rajagobal tidak berani menurunkan Mahali Jasulli yang baru pulih daripada kecederaan, sebaliknya menggunakan khidmat K. Reuben di bahagian bek kanan sementara Khairul Fahmi Che Mat menjadi pilihan untuk mengawal gawang.
Harimau Malaya memberikan sedikit ancaman pada minit ke-21 melalui gerakan solo Azamuddin Akil namun percubaannya yang mengenai salah seorang pertahanan Bahrain, dapat diselamatkan Sayed Mohamed Jaafar.
Melihatkan jentera serangan yang kurang bermaya, jurulatih Bahrain, Anthony Hudson, melakukan pertukaran memasukkan Mohamed Tayeb Alalawi menggantikan Sami Mohamed Saeed Alhusaini pada minit ke-35.
Ketua pasukan, Safiq Rahim, melepaskan peluang terbaik meletakkan tuan rumah memimpin perlawanan apabila rembatannya terlalu lemah di hadapan pintu gol Bahrain walaupun tidak dicabar oleh mana-mana pemain lawan.
Barisan pertahanan Harimau Malaya tertidur seketika pada penghujung babak pertama yang membuka ruang kepada Abdulla Ahmed Saleh melepaskan rembatan menarik yang gagal dijangkau Khairul Fahmi bagi gol pembukaan Bahrain.


RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131016/su_02/Bahrain-tak-sekuat-mana#ixzz2hq5Ah5uF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment