Ad

Friday, 4 October 2013

'Jangan menangis sekarang'


BARNETT (kiri) memberi kata-kata semangat kepada anak-anak buahnya selepas tamat aksi menentang Vietnam Viettel semalam.


HANOI, Vietnam - Hanya air mata kekecewaan yang mampu diterjemahkan skuad Bawah 13 (B-13) Tahun negara selepas kecundang 2-3 kepada tuan rumah, Vietnam Viettel dalam aksi pembuka tirai Kumpulan A kempen Piala Yamaha ASEAN 2013 di Stadium My Dinh, Hanoi petang semalam.
Meskipun bangkit menyamakan kedudukan selepas ketinggalan dua gol pada babak pertama, jaringan minit-minit akhir penyerang, Bui Anh Duc ternyata 'membunuh' semangat juang barisan pemain muda negara.
Namun, pengendali Malaysia, James Richard Barnett enggan anak-anak buahnya meratapi kegagalan itu.
Sebaliknya, beliau mahu mereka kembali bangkit mengatasi Indonesia Red dalam aksi kedua kumpulan pagi ini, sekali gus menyambar slot ke separuh akhir.
"Jangan menangis sekarang... kami masih berpeluang mara lebih jauh dengan syarat mengatasi Indonesia Red esok (pagi ini).
"Meskipun tewas, saya memuji kebangkitan pemain saya menyamakan kedudukan memandangkan ketinggalan dua gol sememangnya sukar buat mana-mana pasukan," katanya selepas tamat perlawanan semalam.
Dalam perlawanan itu, Vietnam Viettel selesa mendahului dua gol menerusi jaringan Tran Danh Tung dan Nguyen Huu Tang pada minit ke-20 dan 25.
Kapten Malaysia, Aliff Haikal Lockmam Hakim Lau kemudiannya berjaya merapatkan kedudukan menerusi sepakan penalti selepas Muhamad Islah Badri Fuad dikasari pemain lawan sebaik babak kedua berlangsung.
Aliff Haikal sekali lagi bertindak cemerlang apabila hantaran cantiknya berjaya disempurnakan Wan Ariff Hakimi Wan Ahmad untuk gol penyamaan Malaysia pada minit ke-54.
Keghairahan skuad muda negara memburu gol kemenangan akhirnya dihukum Bui Anh apabila tenang menjaringkan gol ketiga melepasi jangkauan penjaga gol, Shahrul Iman Ahmad Shukri hasil satu serangan pantas pada masa kecederaan.
"Tekanan yang dihadapi pemain saya cukup berat apabila terpaksa berdepan ribuan penyokong tuan rumah, tambahan pula usia mereka masih muda.
"Jadi, saya harap mereka mempelajari sesuatu dan tidak lagi kehilangan konsentrasi pada penghujung perlawanan ketika berdepan Indonesia Red," kata Barnett.


RUJUKAN: http://www.kosmo.com.my/5.10.13

No comments:

Post a Comment