|
HASRAT peminat tempatan untuk menyaksikan Muhammad Zulfahmi Khairuddin menggegar Kejuaraan Motosikal Grand Prix (MotoGP) Malaysia 2013 tidak kesampaian.
Ini kerana Zulfahmi tidak turun bersaing dalam kelas Moto3 semalam ekoran kecederaan pergelangan tangan kanannya yang semakin serius.
Zulfahmi, 22, mengalami kecederaan itu selain dibelenggu kesakitan di bahagian belakang badan setelah terbabit dalam kemalangan ketika beraksi pada GP Aragon, Sepanyol bulan lalu.
Pada mulanya, pelumba Red Bull KTM Ajo itu dibenarkan beraksi oleh doktor perubatan MotoGP, namun dia bergelut dengan kesakitan pada latihan bebas pada Jumaat lalu dan sesi kelayakan masa kelmarin.
Meskipun bertekad mahu melawan kesakitan yang dialami, Zulfahmi bagaimanapun terpaksa melupakan hajatnya itu selepas mendapati kecederaan tangan kanannya semakin bengkak, sekali gus menyukarkannya mengawal jentera.
“Sehari sebelum perlumbaan, saya ada menjalani fisioterapi dan menggunakan ubat yang diberikan oleh doktor, namun apabila bangun pagi tadi (semalam) saya berasa tangan saya semakin sakit.
“Saya memutuskan untuk mengambil ubat penahan sakit bagi mengurangkan kesakitan tetapi ketika sesi memanaskan badan sebelum perlumbaan, saya dapati tangan berasa kebas dan sukar untuk mengawal jentera.
“Saya juga sukar untuk menekan brek menggunakan tangan, mungkin kerana skru yang dimasukkan ketika pembedahan di Barcelona tempoh hari mengganggu pergerakan tulang tangan saya,” jelas Zulfahmi yang sepatutnya bermula di petak ke-14 semalam.
Sambil meminta maaf kepada peminat Malaysia yang hadir untuk memberi sokongan kepadanya, Zulfahmi menjelaskan, dia terpaksa akur kepada keputusan doktor perubatan yang tidak membenarkan dia beraksi semalam.
“Walaupun telah menerima tujuh suntikan ubat penahan sakit, namun kesakitan itu masih tidak berkurangan.
“Jadi, atas nasihat doktor perubatan dan pasukan, saya memutuskan untuk tidak meneruskan perlumbaan kerana bagi saya agak sukar untuk mengutip mata dalam keadaan sebegini.
“Keadaan ini juga boleh membahayakan diri saya dan juga pelumba lain. Jadi, lebih baik saya tidak berlumba,” kata pelumba kelahiran Banting, Selangor itu.
Dua pelumba wildcard negara bagi kelas Moto3, Amirul Hafiq Mohd. Azmi dan Husni Aizat Abdul Malek dari pasukan Touchline SIC Ajo gagal menamatkan perlumbaan setelah masing-masing terjatuh pada pusingan kedua dan ketiga.
Perlumbaan Moto3 dimenangi oleh rakan sepasukan Zulfahmi, Luis Salom dengan catatan masa 40 minit 42.441 saat (s) diikuti Alex Rins (40:42.510s) dan Miguel Oliveira (40:42.849s).
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/14.10.13
No comments:
Post a Comment