COLOGNE - Juara dunia tiga kali, Jerman mengesahkan slot ke pusingan akhir Piala Dunia 2014 di Brazil selepas menewaskan Republik Ireland 3-0 pada aksi kedua terakhir kelayakan Kumpulan C awal pagi semalam.
Ketiga-tiga gol kemenangan skuad The Team diperoleh satu masing-masing menerusi Sami Khedira pada minit ke-12, Andre Schuerrle (ke-58) dan Mesut Ozil (masa kecederaan).
Namun, jurulatih Jerman, Joachim Loew masih belum berpuas hati dan bertekad untuk melengkapkan aksi kelayakan dengan menewaskan Sweden, Rabu ini.
Loew berkata, anak-anak buahnya masih belum dapat melupakan insiden memalukan apabila Sweden bangkit untuk menyamakan kedudukan 4-4 meskipun skuad The Team sudah mendahului empat gol pada pertemuan terakhir kedua-dua pasukan di Berlin, Oktober tahun lalu.
"Pasukan telah melakukan satu tugasan dengan baik dan kami gembira kerana berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia 2014.
"Namun, kami ada misi penting pada aksi terakhir menentang Sweden nanti.
"Saya akan melihat semula cara pemain menghadapi perlawanan ini. Saya menjangkakan berlaku sedikit pertukaran tetapi kami terdesak untuk menang di sana (Stockholm)," kata Loew.
Sementara itu, timbalan kapten Jerman, Bastian Schweinsteiger mengakui gembira dengan kejayaan melayakkan diri ke pusingan akhir itu.
"Bagaimanapun, segala-galanya hanya akan berakhir tahun depan," kata Schweinsteiger.
Pada perkembangan sama, penjaring gol Jerman, Schuerrle mengakui, pasukan itu terpaksa berkerja keras sebelum berjaya mengutip tiga mata penuh pada aksi menentang Ireland yang dibimbing Noel King.
"Kami mengetahui Ireland akan menampilkan corak permainan secara bertahan dan kami terpaksa bersabar sehingga berjaya menembusi benteng pertahanan mereka," kata pemain sayap Chelsea itu.
Kejayaan itu mengekalkan kedudukan Jerman selaku pendahulu Kumpulan C selepas mengutip 25 mata iaitu lima mata di depan pencabar terdekat, Sweden yang berjaya menewaskan Austria 2-1. - AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/13.10.13
No comments:
Post a Comment