Ad

Wednesday 9 October 2013

Enam tonggak dapat 'lampu hijau'


KIM SWEE (kanan) dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.


ENAM pemain Harimau Muda A diberi pilihan untuk menentukan karier masing-masing bersama skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara itu.
Ini kerana mereka mendapat ‘lampu hijau’ untuk memilih mewakili pasukan negeri/kelab mulai musim depan atau kekal bersama Harimau Muda A bagi tempoh setahun lagi.
Enam pemain yang dimaksudkan itu adalah Mohd. Irfan Fazail, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Muhd. Fadhli Shas, Mohd. Izham Tarmizi Roslan, A. Thamil Arasu dan Ahmad Hazwan Bakri.
Keenam-enam pemain itu dibenarkan berunding dengan mana-mana pihak sehingga penghujung Oktober ini bagi mengelakkan fokus mereka terjejas menjelang Sukan SEA di Myanmar, Disember depan.
“Mereka masih boleh bersama dalam tempoh setahun lagi jika berhajat untuk mewakili Harimau Muda A.
“Pilihan di tangan mereka dan pada masa sama, kami memberikan ruang kepada mereka untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana pasukan yang berminat dengan khidmat mereka.
“Saya mahu mereka menyelesaikan perkara ini sehingga hujung bulan ini. Saya tidak mahu tumpuan mereka terjejas pada Sukan SEA nanti kerana kita kini bakal menghadapi persiapan penting sepanjang bulan November.
“Banyak tawaran yang saya terima membabitkan keenam-enam pemain ini termasuk dari luar negara tetapi mereka harus pulang ke negeri asal terlebih dahulu untuk berbincang mengenai hal ini,” kata pengendali Harimau Muda A, Ong Kim Swee pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Tambah Kim Swee, beliau mengingatkan keenam-enam pemain itu agar membuat keputusan terbaik demi kebaikan karier mereka.
“Nasihat saya, pilih pasukan yang mereka akan beraksi dalam skuad utama. Kami sentiasa bersedia untuk membantu mereka dengan corak latihan bagi mengekalkan tahap kecergasan.
“Paling mustahak, mereka harus mengekalkan disiplin sama seperti bersama Harimau Muda A jika meninggalkan pasukan ini.
“Ini kerana pemain-pemain seperti Irfan dan Fadhli telah banyak pendedahan di peringkat antarabangsa dan mereka harus diberikan peluang untuk beraksi lebih kerap,” katanya.
Skuad Harimau Muda akan mengharungi beberapa aksi pemanas badan menentang kelab Jordan dan skuad B-23 Jordan pada 8 hingga 20 November.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/9.10.13

No comments:

Post a Comment