Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD dan MUHAMMAD DAYNE AZMIN
sukan@utusan.com.my
sukan@utusan.com.my
PETALING JAYA - Formulanya cukup mudah - perlu memburu tiga mata bagi masih berada dalam landasan untuk layak atau boleh ucapkan selamat tinggal kepada Piala Asia 2015 jika kalah apabila Harimau Malaya bertempur dengan Bahrain di Stadium Shah Alam, malam ini.
Biarpun daripada segi matematiknya Harimau Malaya masih belum terkeluar daripada perebutan merebut dua tempat teratas atau berada sebagai pasukan tangga ketiga terbaik daripada lima kumpulan seandainya tewas, namun hakikatnya peluang beraksi di tempat sendiri perlu digunakan sepenuhnya oleh skuad negara dengan membawa pulang tiga mata maksimum.
Jika tiga mata diraih di Shah Alam, ia akan meletakkan Malaysia sebaris bersama Bahrain serta Qatar yang telah membelasah Yemen 6-0, Ahad lalu dengan pungutan enam mata sekali gus turut mencerahkan harapan Harimau Malaya sekurang-kurangnya berada selaku pasukan ketiga terbaik.
Ditambah selepas ini perlu beraksi dua kali di tempat lawan daripada baki tiga perlawanan Kumpulan D kelayakan Piala Asia 2015, anak-anak buah Datuk K. Rajagobal perlu mengetepikan perasaan terlalu menghormati keupayaan lawan dari Asia Barat itu dan cuba kembali menawan keghairahan para penyokong Harimau Malaya yang semakin pudar semenjak kebelakangan ini dengan satu catatan kemenangan paling bermakna.
Bahrain yang baru dibimbing jurulatih muda berusia 32 tahun, Anthony Hudson masih tercari-cari sentuhan kemenangan pertama selepas dua perlawanan apabila kalah kepada Kuwait 1-2 dan Thailand 0-1 dan kesempatan itu perlu diambil oleh Harimau Malaya untuk menambah derita pasukan dari benua Asia Barat berkenaan.
Kecederaan yang menimpa Mohd. Fadhli Mohd. Shas, Wan Zack Haikal Wan Nor, Razman Roslan, Helmi Remeli dan Safee Sali, mungkin menggusarkan Rajagobal, namun kegarangan Harimau Malaya belum terjejas sepenuhnya kerana masih ada pemain lain yang boleh disandarkan harapan.
Pada sidang akhbar, semalam Rajagobal berkata, beliau tidak berada terlalu tertekan walaupun sedar perlawanan dengan Bahrain akan menjadi misi hidup atau mati buat Harimau Malaya yang bercita-cita tinggi mahu beraksi ke Piala Asia secara merit semenjak tahun 1980 yang juga akan menjadi Indeks Pengukur Prestasi (KPI) buat dirinya jika mahu kontrak yang berakhir Disember ini bakal disambung.
Saya jangkakan perlawanan yang menarik selain penuh dengan tekanan dan harapan (daripada peminat) namun semua pasukan melalui proses yang sedemikian, itu adalah normal.
Mengenai kesebelasan utama, saya sudah ada bayangan pemain yang akan diturunkan dan kebanyakan pemain cedera sebelum ini (Mahalli Jasuli dan Aidil Zafuan) boleh diturunkan, ini satu berita baik buat kami.
Saya tidak mahu fikir sama ada bermain di tempat sendiri boleh memberi kelebihan kepada kami atau tidak, yang penting kami berikan fokus sepanjang perlawanan serta tidak terlalu banyak memberikan ruang kepada lawan," katanya.
Di kem Bahrain, Hudson tetap berasa risau dengan kekuatan tuan rumah yang menyifatkan Harimau Malaya ada beberapa individu yang mampu memberikan perbezaan kepada keputusan perlawanan antara kedua-dua pasukan.
RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131015/su_01/Lanyak-Bahrain-habis-habisan#ixzz2hmXY10Wt
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment