Ad

Saturday, 12 October 2013

Hafizh mengharapkan hujan

HAFIZH mengharapkan hujan akan turun di Sepang hari ini yang dianggap mampu membantunya mencatat keputusan lebih baik.


PELUMBA wildcard negara, Hafizh Syahrin Abdullah berharap agar hujan sekali lagi membasahi Litar Sepang apabila dia turun beraksi dalam kelas Moto2 pada Kejuaraan Motosikal Grand Prix Malaysia 2013 petang esok.
Hafizh, 19, gagal memperbaiki prestasinya yang menduduki tempat ke-14 pada sesi latihan kelmarin dengan hanya mampu mencatat masa ke-18 terpantas, 2 minit 08.441 saat pada sesi kelayakan semalam.
Pelumba pasukan Petronas Raceline Malaysia itu menjelaskan dia berasa peluangnya untuk menamatkan saingan hari ini (semalam) di kedudukan sepuluh pelumba terbaik lebih cerah sekiranya hujan turun di Litar Sepang, sama seperti ketika dia menduduki tempat keempat pada edisi tahun lepas.
"Kalau boleh saya harap hujan akan turun pada petang esok (petang ini) kerana ia mungkin memberi sedikit kelebihan buat saya," jelas Hafizh semalam.
"Saya lebih suka kalau litar 70 peratus dalam keadaan basah dan ia akan menyukarkan lagi semua pelumba dalam segi mengawal jentera masing-masing.
"Jika hujan turun, saya akan cuba sedaya upaya untuk menduduki kelompok sepuluh pelumba terbaik, namun kalau litar dalam keadaan kering pun, saya rasa saya masih mampu memberi cabaran kerana jurang kedudukan saya tidak begitu jauh dengan pelumba hadapan," ujarnya lagi.
Perlumbaan kelas Moto2 hari ini bakal menyaksikan pelumba Tuenti HP 40, Esteve Rabat bermula di petak hadapan setelah mencatat masa terpantas 2:07.063s diikuti pelumba Interwetten Moto2 Rac, Thomas Luthi (2:07.081s) di petak kedua dan rakan sepasukan Rabat, Pol Espargaro (2:07.161s) di petak ketiga.
"Saya tidak begitu kecewa dengan kedudukan ke-18 ini kerana memang sasaran saya ialah untuk mencatat masa dalam lingkungan 2:08.4s," jelas Hafizh yang membuat penampilan ketiga sebagai pelumba wildcard MotoGP musim ini.
"Jurang saya dengan pelumba hadapan pun tidak berapa jauh, jadi saya rasa saya boleh perbaiki kedudukan ini pada saingan esok.
"Keadaan jentera pun masih bagus dan tidak banyak perubahan perlu saya lakukan kecuali di bahagian gear supaya saya lebih pantas ketika mengambil selekoh.
"Apa pun saya rasa perlumbaan akan menjadi lebih sengit esok tidak kira hujan atau tidak. Kita tunggu saja apa yang berlaku esok," tambahnya.
Sementara itu pelumba Honda Team Asia, Azlan Shah Kamaruzaman, 29, akan bermula di petak ke-27 hari ini selepas terpaksa berpuas hati dengan catatan 2:10.276s sebelum mengalami kemalangan di pusingan keempat.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/13.10.13

No comments:

Post a Comment