Ad

Friday, 11 October 2013

Zulfahmi 'berpeluh' gegar Sepang

PELUMBA negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin terpaksa menahan kesakitan di bahagian belakangnya sepanjang sesi latihan bebas Kejuaraan Motosikal Grand Prix (MotoGP) Malaysia 2013 di Litar Sepang semalam.
Selepas mendapat kebenaran untuk berlumba oleh doktor perubatan MotoGP kelmarin, Zulfahmi rupanya masih merasai kesakitan di bahagian ekoran kemalangan yang dialami pada GP Aragon, Sepanyol bulan lalu.
Disebabkan kemalangan tersebut, pelumba pasukan Red Bull KTM Ajo itu terpaksa menjalani pembedahan di bahagian pergelangan tangan kanannya minggu lalu.
Selepas selesai menjalani dua sesi latihan bebas kelas Moto3 semalam, Zulfahmi menjelaskan, dia terpaksa menahan kesakitan di bahagian belakang terutama ketika bangun untuk turun dari tempat duduk motosikalnya.
"Saya tidak bersa sakit sangat ketika menunggang kerana tidak banyak bergerak ketika perlumbaan," jelas Zulfahmi semalam.
"Bagaimanapun, apabila saya cuba bangun, barulah saya berasa sakit di bahagian belakang.
"Sebenarnya saya agak terkejut kerana masih berasa sakit di bahagian belakang kerana (sebelum ini) saya jangka kecederaan di bahagian tangan yang akan memberi masalah kepada saya."
Ditanya sama ada kesakitan di bahagian belakangnya mampu menjejaskan catatan pada sesi kelayakan masa hari ini, Zulfahmi berkata, dia kini hanya terpaksa bergantung kepada ubat penahan sakit yang disediakan oleh Institut Sukan negara (ISN).
"Itu sahaja yang mampu saya lakukan. Di Barcelona, doktor telah mengeluarkan darah beku daripada kesan lebam itu dan ketika ini keadaan saya bertambah baik setelah mendapat rawatan susulan daripada ISN.
"Kita tengok sahaja perkembangannya pada sesi terakhir latihan pagi esok (hari ini). Namun, saya yakin saya masih mampu mencatat masa yang lebih bagus pada sesi kelayakan pada sebelah petang nanti," tambahnya.
Zulfahmi hanya mampu membuat 12 pusingan pada sesi latihan di sebelah pagi dengan catatan terpantas 2 minit 16.852 saat (s).
Pelumba kelahiran Banting, Selangor itu mahu memperbaiki prestasinya pada sesi kedua di sebelah petang, namun hujan yang turun pada tengahari menjejaskan konsentrasinya.
Pada sesi kedua, Zulfahmi hanya mampu mencatat masa terpantas 2:18.610s, sekali gus menyaksikan dia menduduki tempat ke-20 berdasarkan catatan pada sesi sebelah pagi.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/12.10.13

No comments:

Post a Comment