KOTA BHARU - Tahun lalu, ketika perlawanan akhir hanya tinggal beberapa minit untuk ditamatkan dalam masa tambahan, Indra Putra Mahyuddin muncul wira Red Warriors apabila meledakkan gol cantik yang membawa Kelantan merangkul kejuaraan Piala Malaysia menumpaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Kenangan tersebut masih segar di ingatan Indra, dan tonggak berpengaruh Kelantan itu bertekad mahu mengulangi 'magis' yang sama apabila pasukannya menentang Pahang pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, Ahad ini.
Indra, 32, membawa Red Warriors merangkul kejuaraan musim lalu menerusi jaringan cantik yang memberi kemenangan 3-2 ke atas The Gladiators, sekali gus melengkapkan musim cemerlang mereka ketika itu dengan mengumpul gelaran treble.
Katanya, kenangan manis ketika menjaringkan gol kemenangan pada aksi final tahun lalu kekal sebagai memori indah dalam kariernya dan dia mengharapkan tuah itu akan berulang kali ini.
"Insya-Allah saya berjanji akan mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan akhir nanti, malah mahu menjaringkan gol untuk Kelantan bagi melengkapkan musim gemilang pasukan tahun ini," kata penyerang dan pemain sayap kiri yang memakai jersi No. 23 itu.
Indra juga bertekad mahu menambah koleksi trofi peribadinya dengan merangkul piala berprestij itu buat kali keempat.
Dia pernah menjulang Piala Malaysia tiga kali, iaitu dua kali bersama Kelantan dan sekali dengan negeri kelahirannya, Perak.
Kata Indra, sekiranya Kelantan mampu mempertahankan kejuaraan, kemenangan itu akan dihadiahkan kepada isterinya dan penyokong setia The Red Warriors yang tidak pernah putus-putus menyokong kariernya selama ini.
Mengulas peluang pasukannya Ahad ini, Indra optimis, Kelantan mampu mempertahankan kejuaraan berdasarkan pengalaman luas beraksi di pentas final, berbanding Pahang yang hanya menjejak kaki buat kali pertama selepas 16 tahun.
Bagaimanapun tegasnya, Kelantan harus berwaspada dengan 'keghairahan' barisan pemain muda Tok Gajah yang tentunya sangat dahagakan kejuaraan.
"Daripada segi pengalaman, Kelantan mempunyai lebih banyak pengalaman, sedangkan Pahang pula pertama kali masuk final dan dibarisi ramai pemain muda.
"Begitupun, kehadiran pemain-pemain muda ini sebenarnya mampu memberi mereka kelebihan tersendiri kerana biasanya orang muda cukup ghairah untuk mencari kemenangan.
"Daripada segi peluang pula, kita (Kelantan) sebenarnya berpeluang baik untuk mempertahankan gelaran, tetapi Pahang memiliki jentera tengah dan serangan yang bahaya, jadi kita harus berhati-hati.
"Apa pun, kami akan pastikan rangkaian tengah dan penyerang mereka ini disekat walaupun kita mengakui ketiadaan tonggak pertahanan utama, Obinna Nwaneri sememangnya memberi kesan," katanya lagi.
rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131101/su_01/Indra-tekad-ulangi-magis#ixzz2jLMPYv4J
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment