KUALA LUMPUR - Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengambil tindakan 'berani mati' apabila tetap mewajibkan jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei yang telah layak secara merit ke Sukan SEA untuk beraksi dalam pemilihan, hujung minggu ini.
Ketika ini, ada lima peserta lompat tinggi telah melepasi kelayakan Temasya Myanmar sedangkan hanya dua atlet dibenarkan bertanding.
Hup Wei mengetuai senarai tersebut bersama S. Navinraj, Nauraj Singh, A. Kavee Alagan dan Mohd. Azly Ghazali.
KOM mewajibkan semua atlet berkenaan bertanding pada Terbuka Malaysia, Ahad ini untuk menentukan dua peserta yang akan meraih tiket ke Myanmar.
Seandainya Hup Wei gagal menempatkan diri dalam kalangan dua terbaik pada saingan tersebut, bermakna dia bakal terlepas tempat ke Sukan SEA buat kali pertama. Dan, jika itu berlaku, ia juga akan menggugat peluang Malaysia untuk mempertahankan emas.
Hup Wei tidak pernah gagal membawa pulang pingat emas sejak kali pertama melakukannya pada 2007, malah gelaran acara lompat tinggi lelaki tidak pernah terlepas daripada genggaman Malaysia sejak 1997.
Loo Kum Zee meguasainya dari 1997 hingga 2005, sebelum Hup Wei mengambil alih dominasi pada tiga temasya berikutnya.
"Saya ada terfikir juga (apa yang akan berlaku kalau gagal dalam pertandingan ini) tetapi saya akur dan hanya buat seperti yang disuruh.
"Latihan saya juga tetap berjalan seperti biasa biarpun ketika ini telah layak secara merit. Sekarang saya perlu berusaha sebaiknya untuk mendapatkan tempat ke Sukan SEA tahun ini.
"Mungkin ada beberapa perkara lagi yang perlu saya perbaiki menjelang kejohanan hujung minggu ini terutama berkaitan teknik lompatan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Hup Wei memegang catatan terbaik musim ini mengatasi empat pencabar utamanya iaitu 2.21 meter.
Ketika ditanya siapakah yang mampu menjadi pencabar utama untuk merebut slot ke Sukan SEA, atlet kelahiran Dengkil itu berkata, Nauraj Singh dan Ahmad Najwan perlu diberi perhatian serius.
"Dua atlet tersebut mempunyai kelebihan tersendiri serta kekuatan yang sukar untuk diramal.
"Bagi saya, pada Terbuka Malaysia nanti hanya mereka yang mampu membuat catatan ketinggian 2.15m ke atas saja berpeluang untuk mendapatkan slot ke Sukan SEA," katanya.RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131016/su_03/Tindakan-berani-mati-KOM#ixzz2hq9agSM0
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment