Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
dayne.ghazali@utusan.com.my
PETALING JAYA - Krisis kecederaan yang membelenggu kem Harimau Malaya tidak wajar dijadikan alasan untuk mengibar bendera putih sebelum berjuang, dan tidak mustahil keajaiban mampu diraih pada aksi kelayakan Kumpulan D Piala Asia 2015 menentang Bahrain, Selasa depan.
Kata-kata semangat itu ditiupkan kapten, Safiq Rahim yang berharap kekalahan 1-3 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi persahabatan, Rabu lalu segera dipadam kerana misi menentang Bahrain lebih penting walaupun turun tanpa ramai tonggak utama.
Jelasnya, kebanyakan pemain yang menggantikan beberapa tonggak utama masih gugup dan sedang cuba mencipta keserasian dengan pemain sedia ada tetapi yakin mereka telah mengambil pengajaran berguna pada perlawanan berkenaan.
''Walaupun pemain utama tidak ada, harap ia tidak memberi kesan terhadap persembahan kita, malah saya yakin kita mampu mengutip mata maksimum ke atas Bahrain.
''Kesilapan kita pada perlawanan dengan UAE adala kurang berkomunikasi dan disiplin di babak pertama. Pada separuh masa kedua baru kelemahan itu dapat diatasi, " katanya pada sesi latihan Harimau Malaya di Wisma FAM, semalam.
Pertahanan menjadi bahagian paling membimbangkan ekoran ketiadaan Mohd. Fadhli Mohd. Shas dan Nik Shahrul Mohd. Azim kerana mendapat Muscle Cruciate Ligament (MCL), selain Helmi Remeli serta Razman Roslan yang baru diarahpulang kerana kecederaan.
Mujurlah Mohd. Aidil Zafuan dijangka mampu cergas dengan pilihan untuk diganding bersama Amiridzwan Taj Tajudin dan Mohd. Hairol Mokhtar yang baru dipanggil.
Selain itu, jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal berdepan dilema jentera serangan ekoran ketiadaan Safee Sali. Beliau perlu memilih di antara Ahmad Fakri Saarani, Mohd. Nizad Ayub, S. Sivanesan atau Mohd. Amri Yahyah mengepalai jentera serangan jika Norshahrul Idlan Talaha gagal untuk pulih.
RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131012/su_04/Jangan-cepat-mengalah#ixzz2hSdFS2ye
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment