Ad

Friday, 11 October 2013

Harimau Malaya sandarkan semangat


K. RajagoBal (kiri) bersama Subahan tiba di KLIA, Sepang semalam bersama skuad Harimau Malaya daripada aksi persahabatan di Shenzen, China. - UTUSAN/Aizzul A.Majid
SEPANG - Hanya keyakinan meraih tiga mata dan mencuba yang terbaik menjadi bekalan jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal dan skuad Harimau Malaya apabila berdepan Bahrain dalam perlawanan Kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam, Selasa ini.
Kehilangan Wan Zack Haikal Wan Noor, Fadhli Shas, Safee Sali, Helmi Remeli dan Razman Roslan, meninggalkan pilihan tonggak yang terhad buat Rajagobal sekali gus berharap baki pemain yang dimilikinya, mampu menampung kesulitan mereka menentang pendahulu Kumpulan D itu.
Kekalahan 3-1 kepada juara Piala Teluk, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dalam persahabatan di Shenzhen, turut mendedahkan jurang lawan dengan anak buahnya kelmarin tetapi tetap dikutipnya sebagai ilmu yang bakal mematangkan mereka menghadapi Bahrain pula.
Beliau yang ditemui sekembalinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, semalam berkata, tanpa ramai tonggak, bukan senang menentang UAE, sebuah pasukan terkuat Asia Barat, juara Piala Teluk dan sebelum menentang kita, menewaskan New Zealand 2-0.
"Kita tahu UAE salah sebuah pasukan terbaik tetapi tujuan kita adalah untuk persiapan dengan Bahrain dan kita dapat satu tahap permainan baik UAE yang lebih kurang sama apabila kita menghadapi Bahrain," katanya yang turut mengakui kehilangan tonggak memberikan sedikit perbezaan pada pasukannya.
Namun, menilai rekod dan reputasi Bahrain, katanya: "Mereka tetap sebuah pasukan yang terkuat Asia selepas mengumpul dua kemenangan Kumpulan D. Kita pun tidak boleh katakan bakal mempunyai kelebihan kerana bermain di gelanggang sendiri.
"Anda boleh nilai sendiri perbezaan kita dengan Bahrain. Memang ada jurang dengan kita tetapi saya fikir bagi Asia Tenggara, Malaysia mempunyai tiga mata setakat ini dan sebagai rakyat Malaysia, kita kena bangga dan kita cuba apa yang kita boleh buat."
Rajagobal juga belum memutuskan siapa di barisan depan Harimau Malaya untuk menggempur Bahrain biarpun kelmarin mencuba gandingan Khyril Muhymeen Zambri-Mohd. Amri Yahyah bagi 45 minit pertama menentang UAE yang cuma dibolosi jaringan tunggal Safiq Rahim.
"Saya harap (penyerang) Norshahrul Idlan Talaha akan bersama kita semula. Kami akan tengok keadaan hidungnya bagaimana (tercedera dalam suku akhir Piala Malaysia dengan Kelantan) dengan mendapatkan nasihat doktor. Begitu juga tahap kecederaan Aidil Zafuan Radzak dan Shakir Shaari," katanya.
Sementara itu, pengurus pasukan negara, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, UAE yang meminta persahabatan itu supaya tidak diletakkan berstatus A antarabangsa selepas tidak dibenarkan oleh tuan rumah, China.
"China juga enggan berikan kebenaran status itu kerana UAE mengatur perlawanan itu melalui ejen dan bukannya dengan persatuan bola sepak. Saya dimaklumkan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Amin turut mempunyai hitam putihnya," katanya


RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131011/su_02/Harimau-Malaya-sandarkan-semangat#ixzz2hSjDfkXW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment