KUALA LUMPUR - Datuk Lee Chong Wei bakal menerima hadiah hari jadi paling istimewa sekiranya berjaya menjuarai Terbuka Denmark minggu ini, namun jaguh No. 1 dunia itu menegaskan, menang atau kalah bukan perkara utama yang bermain dalam fikirannya di Odense kerana dia hanya turun ke gelanggang untuk menikmati permainan.
Buat kali pertama Chong Wei, yang genap 31 tahun pada 21 Oktober depan mengakui, dia tidak langsung memberi tekanan atau meletakkan sebarang sasaran walaupun beraksi pada kejohanan bertaraf Siri Super Premier, malah turun dengan reputasi sebagai penyandang juara.
Chong Wei, yang juga pernah menjuarai kejohanan bernilai AS$400,000 (RM1.2 juta) itu pada 2005 dan 2006 berkata, tumpuannya hanya menghadapi lawan satu demi satu, bukan berfikir terlalu jauh sehingga perlawanan akhir.
"Saya hanya mahu menikmati perlawanan di sini, kalah atau menang bukan perkara yang terlalu menganggu tumpuan saya.
"Tetapi bila saya kata macam itu, ia bukan bermakna saya tidak berada dalam keadaan terbaik untuk menghadapi Terbuka Denmark. Fizikal dan tumpuan saya semua dalam keadaan terbaik, dalam kata lain saya memang cukup bersedia untuk menghadapi satu pertandingan, cuma saya tidak memberi tekanan berlebihan kepada diri sendiri.. itu saja.
"Saya rasa, mungkin pada peringkat sekarang sudah tiba masanya untuk saya menikmati setiap perlawanan. Contohnya, sehingga hari ini, saya belum tahu siapa yang akan saya lawan di pusingan pertama, tetapi saya tidak kisah, saya main sahaja," ujar Chong Wei ketika dihubungi di Odense, Denmark.
Kata Chong Wei lagi, sudah tentu kemenangan akan memberi hadiah hari jadi paling istimewa buatnya, namun andai gagal menamatkan cabaran sebagai juara, ia tetap tidak mengganggu dirinya kerana dia akan meneruskan perancangan untuk menyambung ulang tahun bersama keluarga tercinta di Paris.
Chong Wei, naib juara Olimpik dua kali mengakui, ulang tahun kelahirannya kali ini agak istimewa kerana bakal diraikan bersama keluarga tercinta, termasuk insan baharu dalam hidupnya, Kingston, anak lelaki sulungnya yang dilahirkan pada April lalu.
Jika berjaya melepasi halangan pemain Korea Selatan, Lee Dong Keun hari ini, Chong Wei dijadual menentang pemenang di antara bintang remaja tuan rumah, Viktor Axelsen atau jaguh Jerman, Marc Zwiebler.
Selain Chong Wei, cabaran perseorangan lelaki Malaysia di Odense akan turut dipikul juara Terbuka Perancis, Liew Daren dan juara baharu Terbuka Kuala Lumpur, Chong Wei Feng.
RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131016/su_04/Saya-cuma-mahu-menikmati-perlawanan-tidak-rugi-apa-apa#ixzz2hqBBC2hU
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment