HANOI, Vietnam - Sentimen kebencian Indonesia terhadap skuad negara dilihat tidak pernah padam.
Selepas Harimau Muda pernah menjadi mangsa provokasi Sang Garuda pada temasya Sukan SEA 2011 di Jakarta, 'adik' mereka juga tidak terkecuali berdepan senario yang sama.
Semalam, skuad Bawah 13 Tahun (B-13) negara ditewaskan Indonesia Red 0-3 dalam aksi kedua Kumpulan A kempen Piala Yamaha Asean 2013 sekali gus terpaksa mengucapkan selamat tinggal lebih awal pada edisi kelima kali ini.
Selain sering kali melakukan terjahan keras terhadap pemain negara, tindakan segelintir pemain Indonesia White (satu lagi wakil Indonesia) yang 'menari-nari' seolah-olah mempersendakan lagu Negaraku yang sedang berkumandang di Stadium My Dinh, Hanoi sebelum sepak mula bermula.
Namun pengendali negara, James Richard Barnett enggan menjadikan situasi itu sebagai alasan mengapa skuad kendaliannya tersingkir awal pada edisi kali ini.
"Sudah tentu ia sesuatu yang mengecewakan, namun saya percaya ia akan mematangkan pemain saya supaya mengendalikan sebarang provokasi pihak lawan dengan cukup tenang selepas ini," katanya.
Dalam perlawanan itu, penyerang lincah Indonesia Red, Muhammad Yusuf berjaya mencetak dua gol seawal minit pertama dan ke-10 sebelum Ahmad Ulul Albab menjamin kemenangan bergaya lawan menerusi jaringan ketiga pada minit ke-37.
Dengan keputusan itu, hasrat skuad muda negara mengulangi pencapaian muncul naib juara musim lalu tidak kesampaian selepas terlebih dahulu tewas 2-3 kepada pasukan tuan rumah, Vietnam Viettel dalam aksi sulung kumpulan kelmarin.
"Saya akui pemain agak gementar dengan susuk tubuh pemain Indonesia Red yang jauh lebih tegap dan tinggi.
"Pada masa sama, pemain pertahanan kami juga gagal menyaingi kepantasan penyerang lawan.
"Namun, saya percaya pemain dapat meraih pengalaman berguna memandangkan pasukan ini juga hanya dibentuk kira-kira seminggu sebelum kejohanan," kata Barnett.
Menurut Barnett, beliau akan mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan supaya mengekalkan skuad tersebut kerana mereka cukup berpotensi sekembalinya ke tanah air esok.
"Persembahan kapten (Aliff Haikal Lockman Hakim Lau) juga benar-benar menakjubkan, saya percaya dia memiliki potensi besar untuk beraksi di pentas Eropah jika digilap dengan betul," katanya
RUJUKAN: http://www.kosmo.com.my/6.10.13
No comments:
Post a Comment