KUALA LUMPUR - Bintang muda negara, Low Wee Wern meneruskan rentak baik pada kejohanan skuasy Terbuka Amerika Syarikat (AS) apabila mengiringi jejak jaguh No. 1 dunia, Datuk Nicol David melangkah ke suku akhir di Philadelphia, semalam.
Pemain No. 7 dunia itu bagaimanapun dipaksa berhempas pulas dalam pertarungan 41 minit sebelum mengetepikan bintang muda tuan rumah, Amanda Sobhy 2-11, 11-6, 11-9, 11-5.
Wee Wern yang dikecewakan oleh pemain No. 3 dunia, Raneem El Weleily pada pusingan pertama tahun lalu, berpeluang untuk menebus kekalahannya kepada jaguh Mesir itu apabila kedua-duanya bertemu sekali lagi di suku akhir, hari ini.
Raneem, terdahulu melangkah ke suku akhir selepas mengalahkan rakan senegara, Omneya Abdel Kawy 11-7, 5-11, 11-6, 8-11, 1-9.
Nicol pula hanya memerlukan 36 minit untuk menewaskan Camille Serme dari Perancis 11-9, 11-5, 11-4 pada pusingan kedua yang berlangsung di Drexel Kline & Specter Squash Center, Universiti Drexel.
Pada suku akhir hari ini, jaguh No.1 dunia itu dijadual menentang pilihan kelapan, Madeline Perry dari Ireland yang meraih kemenangan ke atas Line Hansen dari Denmark 7-11, 11-2, 11-3, 11-8.
"Nicol banyak membantu saya untuk beraksi di gelanggang kaca. Kemenangan ke atas Sobhy adalah hasil daripada tunjuk ajarnya.
"Jika anda tersilap langkah dalam aksi di gelanggang kaca sebegini ia akan menghukum anda.
"Nicol telah menasihatkan saya agar bermula dengan lebih pantas untuk membolehkan saya mendapatkan mata dan semua itu berjaya membantu saya," kata Wee Wern.
RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131016/su_08/Wee-Wern-iringi-kemaraan-Nicol#ixzz2hqAMAwK4
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment