Oleh
MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
dan
AZHARI ZAINOODDIN
pengarang@utusan.com.my
SEBAHAGIAN
daripada 250 peserta Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang yang ditahan
ketika menyertai perarakan Hari Kemerdekaan peringkat Pulau Pinang di Padang
Kota Lama, Pulau Pinang, semalam.
Advertisement
PULAU
PINANG 31 Ogos - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyahut cabaran Ketua Menteri,
Lim Guan Eng yang meminta Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berfikir
semasak-masaknya sebelum mengambil tindakan terhadap Pasukan Peronda Sukarela
(PPS) dengan penahanan 154 anggota PPS, hari ini.
Kesemua
ahli PPS yang berusia antara 20 dan 40 tahun termasuk tujuh wanita itu ditahan
selepas mereka berarak dengan menampilkan diri sebagai pasukan PPS lengkap
memakai jaket keselamatan dalam perbarisan sempena sambutan Hari Kemerdekaan
ke-57 peringkat negeri di Padang Kota Lama di sini, kira-kira pukul 10.15 pagi.
Tindakan
pasukan itu sekali gus dilihat seolah-olah sengaja mencabar kenyataan Khalid
yang sebelum ini menegaskan pihaknya akan mengambil tindakan terhadap ahli-ahli
PPS sekiranya pasukan terbabit tetap meneruskan aktiviti mereka.
Sebaik
sahaja ditahan, kesemua ahli PPS terlibat dibawa ke Balai Polis Lebuh Pantai
sebelum dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di Jalan Datuk
Keramat dekat sini, dengan menaiki trak Black Maria, bas sekolah dan van untuk
diambil keterangan.
Difahamkan,
semua ahli PPS itu akan ditahan di lokap IPD Timur Laut sehingga esok bagi
membantu siasatan sebelum perintah reman dikenakan terhadap mereka.
Khalid
ketika dihubungi Bernama hari ini berkata, kesemua anggota PPS itu ditahan bagi
membantu siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pertubuhan kerana tidak berdaftar
dengan Pendaftar Pertubuan (ROS).
"Polis
mula mengambil tindakan (menahan) terhadap anggota PPS selepas mereka tetap
menjalankan aktiviti sedangkan sebelum ini saya telah beri amaran. Pertubuhan
itu telah diharamkan dan semua aktiviti perlu dihentikan segera.
"Mereka
degil (jalankan aktiviti) dan seperti sengaja nak cabar undang-undang negara
serta gertak polis supaya ambil tindakan jika (polis) berani. Kita ambil
tindakan kerana mereka salah, ini (tindakan PPS teruskan aktiviti) memang
perbuatan gengster," katanya.
Khalid
berkata, sepatutnya PPS menggantung semua aktiviti dan menulis surat kepada ROS
untuk minta penjelasan serta menggunakan saluran undang-undang yang ada dan
bukan meneruskan aktiviti seperti hari ini.
Katanya,
polis bertindak mengikut undang-undang dan akan menjalankan siasatan serta
merujuk kes berkenaan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan susulan.
"Dalam
tempoh 24 jam ini, memang mereka tidak dibenarkan bertemu sesiapa termasuk
peguam kerana polis sedang menjalankan siasatan dan kita bimbang ia akan
mengganggu siasatan, jadi kepada barisan peguam anggota PPS yang tidak berpuas
hati itu (tidak dibenarkan bertemu anggota PPS yang ditahan) saya minta mereka
rujuk semula buku undang-undang.
"Jika
polis tidak dapat selesaikan siasatan dalam tempoh 24 jam ini, kemungkinan kami
akan meminta perintah reman terhadap mereka yang ditahan itu daripada mahkamah
pagi esok untuk melengkapkan siasatan, semasa dalam tahanan reman itu peguam
boleh bertemu anak guam mereka," katanya.
Sementara
itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid
mengesahkan penahanan semua ahli PPS terbabit dan memberitahu, penahanan
tersebut dibuat berdasarkan kesalahan di bawah Akta Pertubuhan 1966.
Antara
yang ditahan ialah Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan
Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh bagi membantu siasatan berhubung
penubuhan PPS.
Boon
Poh yang juga Pengerusi PPS ditahan ketika hadir memberi keterangan di IPD
Timur Laut pada pukul 4.15 petang.
Sementara
itu, polis turut memanggil Guan Eng untuk memberi keterangan berhubung perkara
serupa.
Difahamkan,
kesemua ahli PPS wanita dan yang berusia 60 tahun ke atas yang ditahan telah
dibebaskan dengan jaminan polis sejurus selepas keterangan mereka diambil.
SUMBER-Artikel
Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140901/je_01/154-anggota-PPS-ditahan#ixzz3C0zrKXsD
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment