PETALING JAYA: Pemain
pertahanan Aidil Zafuan Abdul Radzak kekal menerajui skuad Harimau Malaya
sebagai ketua pasukan menjelang perlawanan persahabatan menentang Tajikistan
pada Jumaat ini.
Jurulatih kebangsaan Dollah
Salleh berkata, pemilihan Aidil Zafuan adalah berdasarkan pengalaman dan
prestasi konsisten yang dipamerkan pemain Johor Darul Takzim (JDT) itu, di
samping keserasian beliau dengan anggota pasukan lain.
"Selepas perbincangan
dengan penolong jurulatih dan beberapa yang lain, kita sebulat suara
mengekalkan Aidil sebagai ketua pasukan dan Amri (Amri Yahyah) sebagai penolong
ketua pasukan.
"Ia adalah berdasarkan
pengalaman, karakter Aidil dalam padang yang boleh mengarahkan pemain dengan
baik. Dari segi prestasi, saya agak selesa dengan cara Aidil bermain,"
katanya ketika ditemui di Wisma FAM di sini, hari ini.
AIDIL Zafuan (kanan) bersama
Penolong Kapten Mohd Amri Yahyah. FOTO Osman Adnan
Aidil Zafuan, 27, mengambil
alih tugas ketua pasukan daripada Safiq Rahim sepanjang tahun ini ketika skuad
Harimau Malaya di bawah kendalian sementara Datuk Ong Kim Swee.
Skuad Harimau Malaya berlepas
ke Dushanbe, Tajikistan hari ini untuk menentang skuad dari Asia Tengah itu
pada Jumaat.
Dalam pada itu, Dollah yang
mengakui masih 'belum cukup puas' dengan tahap kecergasan pemain, berkata ia
bukan alasan untuk pasukan kebangsaan tidak mencipta sesuatu pada perlawanan
itu.
"Saya tidak ada masalah
untuk membentuk satu pasukan kerana mereka (pemain) semua dah berpengalaman
cuma dari segi kecergasan sahaja masih belum cukup.
"Yang pasti kita pergi ke
sana tidak mahu sebagai team belasahan dan pastikan kita akan buat
sesuatu," katanya.
Walaupun masih belum mengenali
pasukan lawan yang 'misteri' itu, beliau berkata pasukan yang berada di ranking
ke-126 dunia itu dilihat sudah bersiap sedia untuk menentang Malaysia.
Mengenai barisan pemain, Dollah
berkata kesemua 23 pemain yang disenaraikan termasuk Ronny Harun yang baru
menyertai kem latihan menggantikan Bunyamin Umar, boleh disenaraikan antara
kesebelasan utama.
"Cumanya, saya perlu
pastikan kesebelasan pertama yang terbaik pada perlawanan itu nanti,"
katanya.
Sementara itu, Aidil Zafuan
berkata, beliau amat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh Dolah untuk
terus menerajui skuad Harimau Malaya.
"Menjadi ketua pasukan
adalah bonus dan ia satu tanggungjawab yang besar. Sebenarnya, saya lebih
mengejar tempat dalam kesebelasan utama tapi saya hargai kepercayaan yang
diberikan oleh jurulatih," katanya.
Menurutnya apa yang penting
ialah prestasi dan pencapaian pasukan pada perlawanan persahabatan kali ini
untuk membaiki ranking di samping sebagai persediaan menghadapi Kejohanan AFF
tidak lama lagi. - Bernama
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : 2014/08/04
No comments:
Post a Comment