Oleh Aziman Rosdi
Kuala Lumpur: Sudah lapan tahun
angka 32 tidak berubah dan situasi itu sudah pasti cukup menyiksakan buat
penyokong Selangor yang ternanti-nanti kejuaraan ke-33 Piala Malaysia.
Jika skuad Red Giants mahu
menamatkan kemarau itu, tahun ini dilihat detik terbaik untuk mereka
melakukannya.
Persembahan mereka di bawah
kendalian bekas pemain import Mehmet Durakovic dalam saingan Liga Super tidak
mengecewakan apabila menduduki tangga kedua di belakang Johor Darul Ta’zim.
Dan melihat kepada undian kali
ini, laluan Selangor cukup cerah untuk melepasi halangan peringkat Kumpulan D
apabila bersaing dengan dua lagi pasukan Liga Super, Sime Darby dan T-Team
serta juara Liga Perdana, Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bagaimanapun Durakovic tidak
boleh berasa terlalu selesa kerana sejarah mungkin akan berulang apabila Selangor
tersingkir awal tahun lalu biarpun hadir sebagai naib juara liga.
Gergasi Lembah Klang itu
dilihat mempunyai barisan pemain serba lengkap dan kekuatan utama mereka musim
ini ialah pertahanan yang mantap apabila merekodkan enam perlawanan tanpa bolos
dalam liga.
Red Giants juga beruntung
kerana keputusan mendapatkan khidmat penyerang import, Paulo Rangel dari Perak
membuahkan hasil apabila dia menyumbat 16 gol liga untuk merangkul kasut emas.
Namun anak buah Durakovic perlu
berhati-hati kerana dalam kumpulan itu ada ‘Pembunuh Gergasi’ Sime Darby.
Jurulatih kelab itu Ismail
Zakaria berjaya membangkitkan semangat anak buahnya untuk berjuang daripada
bergelut di zon penyingkiran hingga berjaya menamatkan saingan liga di tangga
kelima liga.
Semangat itu bakal dijadikan
pedoman buat Sime Darby untuk memperbaiki rekod tahun lalu mara ke suku akhir
sebelum ditunjukkan jalan keluar oleh Sarawak.
Berbeza dengan Sime Darby,
nasib T-Team tidaklah seindah yang diharapkan musim ini apabila mereka terperosok
di dasar liga sekali gus tersingkir ke Liga Perdana musim depan.
Dengan jurulatih Azraai Khor
Abdullah menamatkan kontrak beberapa minggu sebelum sepak mula Piala Malaysia
esok, nasib kelab dari Terengganu itu kini terletak di tangan Anuar Abu Bakar.
Anuar dilantik Rabu lalu dan
dilihat tidak mempunyai banyak masa untuk mempersiapkan pasukannya yang lebih
mendapat tumpuan dengan insiden ‘Terowong Larkin’ berbanding aksi di atas
padang.
Jika berjaya melangkah ke suku
akhir sudah boleh dianggap satu kejayaan buat skuad The Titans ini.
Nasib satu lagi pasukan, PDRM
juga tak ubah seperti T-Team yang kehilangan jurulatih menjelang Piala Malaysia
bermula cuma bezanya, skuad The Cops ini mengharungi musim cemerlang di Liga
Perdana apabila muncul juara di bawah kendalian Dollah Salleh.
Mereka menerima tamparan hebat
selepas Dollah disambar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membimbing
Harimau Malaya dan tugas itu kini digalas penolong yang juga bekas penyerang
kebangsaan, Azman Adnan.
Azman tidak perlu terlalu
bimbang kerana Dollah sudah meninggalkan pasukan yang sedia mantap termasuk
bahagian serangan yang mengumpul 63 gol dalam 22 perlawanan liga dengan separuh
daripada jumlah itu disumbangkan oleh gandingan Ali Ashfaq dan Chad Souza.
PEMAIN TUMPUAN
SELANGOR: Paulo Rangel
Penyerang berusia 29 tahun ini
mencuri tumpuan dengan menyumbat 16 gol untuk membantu Selangor muncul naib
juara Liga Super dan ketajamannya pasti ditagih pasukannya dalam meneruskan
Misi 33.
Rangel bukan saja memiliki
kemahiran individu malah memiliki sepakan deras kaki kiri dan kanan. Pakar
sepakan percuma itu juga licik di dalam kotak penalti dan jika tidak dikawal
pasukan lawan pasti akan mengutip bola di gawang sendiri.
SIME DARBY: Dilshod
Sharofetdinov
Pemain ini digemari oleh
jurulatih Sime Darby Ismail Zakaria kerana lenggok permainannya di atas padang.
Dan lenggok pemain tengah Uzbekistan ini memang menjadi apabila Dilshod
dianggap arkitek kepada gerakan pasukan.
Bukan saja mampu mengelecek dan
membuat hantaran, malah pemain berusia 28 tahun ini juga mampu menjaringkan gol
dan buktinya, lima gol berjaya disumbat dan rekod tertinggi bagi pemain Sime
Darby dalam saingan liga.
PDRM: Ali Ashfaq
Penyerang kebangsaan Maldives
ini dianggap pembelian berbaloi PDRM apabila dia menjaringkan 18 gol, kurang
satu gol daripada pemenang Kasut Emas Liga Perdana Edward Junior Wilson dari
FELDA United.
Ashfaq, 28, adalah pemain yang
suka menggelecek pemain lawan untuk menjaringkan gol dan kepantasan yang ada
pada dirinya memudahkan lagi tugas itu.
T-TEAM: Patrich Wanggai
Baru semusim dengan T-Team,
pemain import dari Indonesia ini tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri
dengan pasukan barunya. Penyerang berusia 26 tahun ini mempunyai kelebihan
fizikal untuk mengatasi pertahanan lawan dan biarpun hanya menjaringkan lima
gol dalam liga, Patrich masih dianggap sandaran terbaik T-Team untuk menggempur
pasukan lawan dalam kempen Piala Malaysia.
Sumber-My Metro online 12.8.14
No comments:
Post a Comment