Dijangka kemukakan calon lain bagi
jawatan Menteri Besar
Oleh Zulkiflee Bakar
dan Mohd. Shariza Abdullah
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 16 Ogos -
Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat esok dijangka tetap menolak pencalonan Datin
Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor bagi menggantikan
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Satu sumber memberitahu
Mingguan Malaysia, walaupun pemimpin-pemimpin Pas yang dilihat cenderung
menyokong Wan Azizah akan berhujah menentang langkah itu namun parti tersebut
mempunyai alasan tersendiri kenapa pendirian berkenaan terpaksa dibuat.
"Boleh dikatakan hampir
mustahil untuk Pas menyokong Wan Azizah kerana kita mempunyai sebab tertentu
kenapa tindakan itu dilakukan," kata sumber tersebut ketika dihubungi di
sini, hari ini.
Sumber berkenaan menjelaskan,
mesyuarat yang dianggap amat penting itu mempunyai beberapa pilihan bagi
menamatkan krisis politik di Selangor termasuklah mengemukakan nama ADUN lain
bagi menggantikan pencalonan Wan Azizah.
"Apa yang menjadi pegangan
utama dalam membuat keputusan bagi calon Menteri Besar itu ialah ia mestilah
berpandukan kepada perkenan Sultan Selangor. Pas akan patuh terhadap apa juga
titah baginda," katanya.
Ditanya siapakah calon
tersebut, sumber itu berkata, mereka mempunyai beberapa pilihan tetapi yang
pastinya ADUN berkenaan sudah tentu daripada PKR.
"Itu perjanjian Pas dengan
PKR dan DAP iaitu kerusi Menteri Besar Selangor akan disandang oleh PKR, cuma
apa yang perlu dipastikan ialah calon berkenaan mesti diperkenan oleh
istana," katanya lagi.
Sumber itu juga mengakui,
Timbalan Presiden PKR Azmin Ali merupakan calon paling popular bagi
menggantikan Abdul Khalid, walaupun ADUN Ijok, Dr. Idris Ahmad akan turut
disenaraikan.
Mengulas lanjut sumber itu
turut tidak menolak kemungkinan dalam usaha meredakan keadaan, mesyuarat Pas
akan membuat keputusan terus menyokong Abdul Khalid sehingga Sultan Selangor
kembali ke tanah air pada 27 Ogos ini.
"Kalau Pas membuat
keputusan sekarang menarik sokongan kepada Abdul Khalid ketika Sultan Selangor
tiada dalam negara, ia boleh menjejaskan pentadbiran negeri.
"Oleh itu adalah lebih
baik, biar pun Pas menolak pencalonan Wan Azizah tetapi parti tersebut tetap
menanti kepulangan Sultan bagi membolehkan pendirian muktamad dibuat,"
katanya.
Sumber itu juga menolak sebarang
andaian Pas akan membuat keputusan yang boleh menyebabkan hubungan parti
tersebut dengan PKR dan DAP berakhir.
"Tetapi kalaupun Pas kekal
dalam pakatan pembangkang, kemesraan agak 'tawar' memandangkan kedua-dua parti
itu telah membuat pelbagai kenyataan yang dilihat mengguris perasaan pemimpin
dan ahli Pas di peringkat akar umbi," katanya.
Sumber-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140817/po_03/Dijangka-kemukakan-calon-lain-bagi-jawatan-Menteri-Besar#ixzz3AbsAklkF
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment