Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my
DOLLAH (kanan) mula
mengendalikan sesi latihan skuad Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya sejak
Jumaat lalu.
ATAS kertas, skuad Harimau
Malaya dilihat meniti laluan penuh berliku apabila diundi berada dalam
'kumpulan maut' pada kempen Piala Suzuki AFF 2014 yang akan membuka tirainya
penghujung tahun ini.
Pada majlis undian di Hotel
Sheraton, Hanoi, Vietnam semalam, Harimau Malaya yang kini dibimbing Dollah
Salleh telah diundi bersama tuan rumah yang juga juara bertahan, Singapura
dalam Kumpulan B.
Lebih perit, Thailand yang
mengecewakan Harimau Malaya pada peringkat separuh akhir edisi 2012 juga diundi
dalam kumpulan yang sama kali ini selain ancaman juara pusingan kelayakan yang
dijangka diisi Myanmar.
Namun, Setiausaha Agung
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin tetap tidak
berganjak dengan sasaran awal badan induk itu untuk sekurang-kurangnya menempah
pentas final pada kempen kali ini.
"Kekuatan kesemua pasukan
di rantau Asia Tenggara dilihat seimbang dan hampir sama, jadi tidak timbul
istilah 'kumpulan maut'.
"Jadi, misi ke final tetap
menjadi sasaran utama. Kami tidak akan berganjak meletakkan sasaran yang lebih
rendah biarpun diundi bersama Singapura, Thailand dan juga juara kumpulan
kelayakan pada kempen kali ini," katanya kepada Kosmo! semasa dihubungi di
Hanoi semalam.
Hamidin juga menegaskan bahawa
harapan kesemua rakyat Malaysia tidak sewajarnya diletakkan di bahu Dollah
semata-mata menyedari persiapan Harimau Malaya yang tampak begitu singkat
berbanding pasukan lain.
"Kita tidak boleh
mengambil mudah dan perlu memberikan yang terbaik bermula sekarang.
"Harapan tidak boleh
diletakkan ke atas Dollah seorang, sebaliknya kesemua pihak termasuk pemain dan
persatuan negeri juga harus memainkan peranan bagi memastikan objektif ke final
tercapai," jelas beliau.
Hamidin memberitahu, diundi
dalam Kumpulan B juga boleh dianggap satu hikmah buat Harimau Malaya apabila
bakal mengharungi saingan peringkat kumpulan di Stadium Nasional, Singapura
yang berkapasiti 55,000 penonton.
"Berbanding beraksi di
Vietnam, beraksi di Singapura juga dianggap satu kelebihan buat skuad negara.
"Ini kerana, penyokong
lebih mudah ke sana (Singapura) berbanding Vietnam setiap kali aksi membabitkan
skuad kebangsaan bagi menyuntik moral dan semangat pemain dalam kempen kali
ini.
"Jadi, kami (FAM) akan
mengusahakan perkara itu (rombongan penyokong ke Singapura) sebaik mengenal
pasti jadual perlawanan peringkat kumpulan yang membabitkan skuad kebangsaan
kelak," jelas beliau.
Pada kempen kali ini, Harimau
Malaya bakal membuka tirai Kumpulan B berdepan juara pusingan kelayakan yang
dijadualkan berlangsung dari 22 hingga 29 November depan.
Aksi Kumpulan A pula melibatkan
tuan rumah bersama yang juga juara edisi 2008 - Vietnam bersama Filipina,
Indonesia dan naib juara peringkat kelayakan.
Aksi separuh akhir pertama
dijadualkan pada 6 dan 7 Disember manakala perlawanan separuh akhir kedua pula
bakal berlangsung pada 10 dan 11 Disember.
Final pertama dan kedua juga
masing-masing dijadualkan berlangsung pada 17 dan 20 Disember.
Namun, pusingan kelayakan Piala
Suzuki AFF terlebih dulu akan berlangsung di Laos dari 12 hingga 20 Oktober
yang membabitkan tuan rumah bersama Myanmar, Kemboja, Timor Leste dan Brunei.
Sumber-KOSMO ONLINE
No comments:
Post a Comment