Harimau Malaya perlu bangkit
segera
Oleh FADHILUL IZMEL ISHAK
sukan@utusan.com.my
Dollah Salleh
KUALA LUMPUR - Harimau Malaya
perlu segera melupakan mimpi ngeri yang dihadapi mereka selepas dibelasah 4-1
oleh Tajikistan dalam aksi persahabatan di Stadium Respublikanskiy M.V. Frunze,
Dushanbe kelmarin bagi memastikan mereka lebih bersedia untuk menghadapi aksi
seterusnya.
Jurulatih kebangsaan, Dollah
Salleh berkata, berdasarkan perlawanan tersebut beliau mendapati masih banyak
perkara yang perlu diperbaiki bagi memastikan pasukan negara mampu bersaing
dengan mantap.
"Setelah meneliti
persembahan para pemain saya mendapati masih banyak lagi ruang yang perlu
diperbaiki.
"Saya hanya mempunyai masa
lima hari sahaja untuk menghadapi perlawanan tersebut dan sudah pasti bukan
mudah untuk saya melakukan sesuatu dalam masa yang singkat.
"Dalam perlawanan itu,
saya lihat pemain susah mahu bernafas kerana cuaca di negara ini yang kering
manakala dari segi tahap kecergasan saya lihat mereka hanya mempamerkan aksi 70
peratus sahaja," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di Dushanbe
semalam.
Tambahnya, dia akan menggunakan
Piala Malaysia sebagai platform untuk memilih pemain yang akan membarisi skuad
Harimau Malaya kelak.
"Seperti yang saya katakan
sebelum ini, saya akan menggunakan Piala Malaysia sebagai medan untuk membuat
pemilihan jadi saya akan jelajah ke seluruh negeri untuk memerhatikan pemain
yang terbaik untuk diserapkan ke dalam skuad kebangsaan.
"Bagaimanapun, dalam masa
yang sama saya turut menjadikan perlawanan persahabatan yang diadakan ini untuk
menilai prestasi para pemain yang saya rasakan layak dikekalkan di dalam skuad
kebangsaan," katanya.
Dalam aksi tersebut pasukan
negara ketinggalan pada minit ke-15 menerusi Dargon Ergashev sebelum Khurshed
Makhmudov menambah dua gol pada minit ke 35 dan 51 dan Davranov menghasilkan
gol keempat pada minit ke-53.
Perlawanan persahabatan skuad
negara seterusnya ialah menentang Jordan pada 11 Oktober ini.
Sementara itu, bagi bekas
jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan, tewas 4-1 merupakan keputusan yang
mengejutkan buat peminat bola sepak tempatan namun skuad kebangsaan perlu
menjadikannya sebagai sumber rujukan bagi perlawanan seterusnya.
"Jadikan perlawanan
tersebut sebagai wake up call untuk pasukan kebangsaan kerana melalui keputusan
yang diperoleh masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diatasi oleh skuad
negara.
"Tujuan utama perlawanan
persahabatan diadakan bukan semata-mata untuk memperbaharui ranking namun kita
dapat melihat kelemahan yang dihadapi oleh pasukan dan sebagai jurulatih adalah
menjadi kewajipan terhadap dirinya untuk memperbaiki punca kegagalan tersebut.
"Tidak wajar untuk kita
mengkritik skuad kendalian Dollah Salleh kerana dia baru sahaja mengambil alih
tugas tersebut dan perlu diingatkan menjadi jurulatih pasukan kebangsaan bukan
satu perkara yang mudah," katanya.
Perlawanan persahabatan itu
ialah sebahagian daripada proses persediaan skuad negara yang mempunyai 103
hari lagi sebelum bersaing dalam Kejohanan AFF.
Dalam kejohanan yang bermula 22
November depan itu, Harimau Malaya diletakkan di dalam Kumpulan B bersama
penyandang gelaran yang juga juara empat kali, Singapura serta juara tiga kali,
Thailand.
sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140810/su_03/Harimau-Malaya-perlu-bangkit-segera#ixzz39wKgnqBL
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment