JDT-Kelantan sama tempang
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
WAN Zack Haikal kembali
menjalani latihan bersama Kelantan dan sedia diturunkan, malam ini.
KUALA LUMPUR - Juara Liga
Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan juara dua kali, Kelantan bakal bertarung
tanpa sebahagian tonggak utama dalam perlawanan pembukaan Piala Malaysia yang
paling mencuri tumpuan di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, malam ini.
Kedua-dua pasukan dilanda
krisis kecederaan dan penggantungan.
Paling terjejas adalah tuan
rumah, Harimau Selatan yang hilang enam tonggak, tambahan pula beberapa pemain
mereka baru pulang dari Tajikistan bersama Harimau Malaya.
Bekas pemain Villarreal dan
Genoa, Luciano Figueroa dan kapten, Mohd. Amri Yahyah tidak dapat diturunkan
kerana digantung satu perlawanan, sementara Jorge Pereyra Diaz masih di
Argentina kerana ayahnya tidak sihat.
Melengkapkan senarai pemain
yang tidak beraksi adalah Mohd. Irfan Fazail, Amirul Hadi Zainal dan Mahali
Jasuli.
Tegas pengendali JDT, Bojan
Hodak, dia berdepan masalah besar untuk mengumpul semua pemain dengan hanya
satu sesi latihan sahaja dapat digunakan untuk menilai dan merancang strategi
selepas lapan pemain melaporkan diri, Ahad lalu.
"Memang memeningkan kepala
melihat situasi sekarang dan pemergian mereka membantu skuad negara memberi
kesan kepada persiapan kami.
"Saya harap semua pemain
sedia menghadapi Kelantan," katanya dalam laman web rasmi JDT,
JohorSouthernTigers.com.my.
Kelantan pula terus menanti
pemain Mesir, Mohamed Shawky yang belum pulang ekoran masalah keluarga, selain
Brendan Gan yang belum pulih daripada kecederaan sehingga menyebabkan bahagian
tengah The Red Warriors tampak pincang.
Hanya satu berita baik buat
Kelantan adalah bintang muda negara, Wan Zack Haikal Wan Noor bersedia beraksi
dalam kempen Piala Malaysia apabila sudah mula menjalani latihan.
Melengkapkan Kumpulan C,
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berdepan Pulau Pinang dengan kecederaan
menghantui The Gladiators yang belum dapat menurunkan Juan Manuel Arostegui,
Chrsitie Jayaseelan dan Mohd. Affize Faisal.
Bagi dua aksi Kumpulan A,
Pahang diramal tidak berdepan masalah untuk mengutip tiga mata penuh di laman
sendiri ke atas JDT II, walaupun beberapa aksi hambar ditampilkan dalam saingan
persahabatan.
sumber
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140813/su_02/JDT-Kelantan-sama-tempang#ixzz3AGtKuFQL
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment