Ad

Saturday 30 August 2014

Hanya yang terbaik dipilih - Dollah


Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

JURULATIH skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh (gambar) akan pastikan skuad kendaliannya betul-betul berada dalam keadaan bersedia bagi menghadapi cabaran pada Kejohanan Piala AFF Suzuki 2014 yang dijadualkan berlangsung di Singapura dan Vietnam pada November depan.

Semalam, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengeluarkan senarai 29 pelatih yang bakal menjalani latihan pusat bermula 4 September sehingga 12 Oktober depan.

Selain itu, FAM juga telah mengumumkan tiga perlawanan persahabatan antarabangsa buat skuad Harimau Malaya iaitu menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno pada 14 September depan.

Baki dua perlawanan melibatkan aksi menentang Kemboja pada 20 September dan Jordan di Stadium Shah Alam pada 11 Oktober depan.

Mengulas mengenai senarai tersebut, Dollah mengakui berdepan tugasan sukar dalam misi membentuk satu skuad yang mantap untuk mengharungi Piala AFF Suzuki 2014 nanti.

“Kami memanggil 29 pemain dalam usaha memilih pemain-pemain yang terbaik.

“Saya tidak boleh buat keputusan drastik untuk mendaftar 22 pemain yang akan beraksi di Piala AFF Suzuki nanti dan sebab itulah saya memanggil ramai pemain untuk menyertai latihan pusat kali ini.

“Saya mahu tengok persembahan mereka. Saya akan pemain yang betul-betul bersedia untuk menggalas tugas bersama skuad negara nanti.

“Pemain yang dipilih menyertai latihan pusat ini adalah kelompok pemain terbaik buat masa kini. Kita mahu menentukan pemain-pemain ini betul-betul bersedia,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, semalam.

Dalam perkembangan lain, Dollah menganggap skuad negara mampu bersaing dengan pasukan-pasukan lawan dalam aksi Piala AFF Suzuki nanti.

“Sejujurnya, bagi saya keupayaan Thailand, Singapura mahupun Indonesia hampir sama dengan pasukan kebangsaan.

“Pada pendapat saya, persiapan pasukan memainkan peranan penting. Jadi, saya mahu fokus kepada persiapan skuad negara sebelum memikirkan Piala AFF Suzuki 2014,” katanya
Kosmo online-30.8.14


No comments:

Post a Comment