Ad

Sunday 31 August 2014

Rusuhan iringi penyingkiran Sarawak

Oleh NOR AZIRAN YUNUS
aziran.yunus@kosmo.com.my
 
SEBUAH kereta peronda polis musnah dibakar oleh penyokong Sarawak yang bertindak ganas merusuh selepas perlawanan antara Sarawak dengan Perak di Kuching malam kelmarin.

RUSUHAN para penyokong selepas aksi skuad Sarawak bertemu Perak pada perlawanan peringkat Kumpulan B kempen Piala Malaysia 2014 di Stadium Negeri, Kuching kelmarin menjadi klimaks kepada perjalanan skuad Bujang Senang itu dalam kempen piala berprestij itu musim ini.

Walaupun mencatat keputusan seri 1-1 dalam perlawanan tersebut, Sarawak sudah boleh mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Piala Malaysia 2014 kerana sekadar mengumpul empat mata daripada lima perlawanan peringkat Kumpulan B setakat ini.

Tiga lagi pasukan, Perak, Terengganu dan Kedah masih berpeluang merebut dua slot ke suku akhir selepas masing-masing mengumpul sembilan, lapan dan tujuh mata dengan saingan masih berbaki satu perlawanan lagi untuk diharungi.

Sejurus wisel penamat dibunyikan oleh pengadil, Mohd. Nafeez Abdul Wahab, suasana di dalam Stadium Negeri mula bertukar wajah apabila suar dinyalakan para penyokong Sarawak di setiap sudut stadium manakala letupan mercun pula mula ‘menghiasi’ suasana.

Suasana bertambah kecoh apabila kira-kira 100 penyokong Sarawak berjaya masuk ke dalam padang dan menendang papan iklan di tepi padang manakala penyokong-penyokong yang masih berada di tempat duduk melontarkan botol-botol minuman ke kawasan padang.
 
PETUGAS perubatan memberi bantuan kepada salah seorang penyokong Sarawak yang pengsan akibat terkena gas pemedih mata.

Bagaimanapun, tindakan pantas anggota keselamatan yang terdiri daripada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) berjaya mengawal keadaan daripada bertambah buruk.

Namun, kekecohan tidak berakhir di situ kerana kira-kira 2,000 penyokong Sarawak berkumpul di luar pintu pagar utama stadium bagi menunggu bas yang membawa para pemain dan pegawai pasukan Perak keluar daripada kawasan stadium.

Tidak cukup dengan itu, para penyokong mula bertindak liar apabila melontarkan batu ke arah pihak berkuasa dan juga merosakkan lima buah kereta milik PDRM serta membakar sebuah kereta peronda polis jenis Perodua Kembara.

Kira-kira pukul 12.30 malam kelmarin, pintu pagar utama stadium pula dirempuh ribuan penyokong Sarawak untuk memasuki semula ke kawasan stadium bagi mencari pemain-pemain dan pegawai pasukan Perak.

Keadaan yang tidak terkawal itu memaksa pasukan FRU melepaskan 26 gas pemedih mata ke arah perusuh selepas amaran untuk bersurai tidak diendahkan.

Keadaan hanya kembali terkawal kira-kira sejam kemudian selepas beberapa pasukan tambahan daripada pasukan PDRM, FRU dan Pasukan Gerakan Am (PGA) tiba dilokasi kejadian untuk mengarahkan mereka bersurai.


KERETA peronda milik pihak polis turut menjadi mangsa keganasan penyokong skuad Sarawak sebaik tamat perlawanan menentang Perak di Kuching malam kelmarin.

Pada pukul 1.35 pagi, bas yang membawa pasukan Perak beredar daripada perkarangan Stadium Negeri menuju ke hotel penginapan mereka dengan diiringi beberapa buah kereta peronda polis.

Difahamkan, kemarahan para penyokong Sarawak tersebut tercetus bukanlah disebabkan tersingkirnya pasukan kesayangan mereka itu dalam kempen Piala Malaysia kali ini tetapi, mereka ingin membalas dendam terhadap layanan buruk yang diterima ketika kunjungan para penyokong Bujang Senang ke Ipoh dalam aksi pusingan pertama Kumpulan B pada 20 Ogos lalu.

Sebagai rekod, selepas tamat perlawanan di Ipoh itu, lima penyokong Sarawak yang terdiri daripada Kumpulan GB13 dipukul oleh penyokong Perak dan mereka juga dihambur dengan kata-kata berbaur perkauman.

Kosmo! pada 24 Ogos lalu melaporkan, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) tidak akan menjual tiket-tiket perlawanan kelmarin kepada penyokong Perak kerana FAS tidak berani menjamin keselamatan mereka jika bertandang ke Kuching.

Presiden FAS, Datuk Sudarsono Osman juga sudah membuat laporan rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) berhubung insiden di Ipoh itu.
Video mengenai kejadian penyokong Sarawak dipukul itu menjadi viral di laman sosial Facebook, sekali gus menimbulkan kemarahan rakyat Sarawak dan mengugut akan membalas dendam terhadap para penyokong dan pemain pasukan Perak jika bertandang ke Kuching.

SUMBER-KOSMO ONLINE 1.9.2014

No comments:

Post a Comment