Ad

Friday, 22 August 2014

Pertahan sasaran ke suku akhir

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my
 
KIM SWEE (kanan) dan anak-anak buahnya menghadapi tugas sukar apabila skuad negara berada dalam ‘kumpulan maut’ pada Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan bulan depan.
Advertisement

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) tidak berganjak dengan sasaran mara ke suku akhir yang ditetapkan ke atas skuad bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) negara pada temasya Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan bulan depan.

Meskipun skuad B-23 negara dilihat berada dalam ‘kumpulan maut’ apabila diundi bersama tuan rumah, Korea Selatan, Arab Saudi dan Laos dalam Kumpulan A, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee yang bertanding dalam kategori B harus layak ke suku akhir terlebih dulu jika mahu diletakkan dalam kategori A.

Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi (gambar kecil) berkata, keputusan itu telah dibuat Jawatankuasa Pemilihan MOM sebelum ini.

“Ia bukan satu isu besar, bola sepak juga tidak mengemukakan sebarang rayuan berhubung perkara itu supaya disenaraikan dalam kategori A.

“Jadi, sasaran ke suku akhir tetap kekal jika mahu perbelanjaan mereka ditanggung MOM,” katanya kepada pemberita selepas sidang akhbar Kejohanan Bola Sepak Veteran Antarabangsa Langkawi 2014 di Wisma MOM, Kuala Lumpur semalam.

Kejohanan julung-julung kali yang menawarkan wang tunai keseluruhan hampir RM10,000 itu bakal berlangsung di Stadium Langkawi selama dua hari bermula 29 Ogos ini.

Antara pemain veteran yang dijangka mengambil bahagian termasuk bekas pemain Sarawak, Affendi Julaihi, Jelani Wilastra (Pulau Pinang), Ahmad Sobri Ismail (Kedah), Ramles Sari (Sarawak) dan bekas pemain Singapura dan Kuala Lumpur, Malek Awab.

Turut hadir pada sidang akhbar berkenaan ialah penasihat kejohanan, Datuk Peter Velappan dan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Langkawi, Mohd. Azim Othman.

Mengulas lanjut, Kok Chi berkata, pihak Jawatankuasa Pemilihan MOM bagaimanapun tetap mempertimbangkan rayuan skuad B-23 negara untuk disenaraikan dalam kategori A jika berjaya mengulangi pencapaian layak ke pusingan kedua sepertimana ketika temasya Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China.

“Jika layak ke pusingan kedua, kami bersedia mempertimbangkan sebarang rayuan untuk kembali disenaraikan dalam kategori A,” katanya.

Kok Chi memberitahu, pihaknya juga tidak meragui kemampuan skuad muda negara melakar kejutan di Incheon kelak.

“Ketika temasya Sukan SEA (2009) di Laos, bola sepak turut bertanding atas tiket kategori B sebelum membawa pulang pingat emas, jadi biar mereka beraksi terlebih dulu

di Incheon.

“(Atas kertas) Korea Selatan mungkin memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri, jadi mereka wajib menang ke atas Laos sebelum mengejutkan Arab Saudi jika mahu ke pusingan kedua,” katanya.

SUMBER-KOSMO ONLINE 22.8.14

No comments:

Post a Comment