Harimau Malaya kena taji
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Ujian pertama
menghasilkan mimpi ngeri buat Dollah Salleh apabila Harimau Malaya dibelasah
1-4 oleh lawan yang berada di ranking ke-124 dunia, Tajikistan dalam aksi
persahabatan di Stadium Respublikanskiy M.V. Frunze, Dushanbe semalam.
Kekalahan itu bermakna rekod
bersih Malaysia di peringkat antarabangsa akhirnya lebur tahun ini.
Sejak awal permainan, rentak
Harimau Malaya yang menduduki ranking ke-151 dunia begitu tempang terutama di
bahagian tengah, dan beraksi di atas padang tiruan menambahkan kesukaran buat
mereka terutama untuk mengawal bola.
Meletakkan Mohd. Badhri Mohd.
Radzi untuk memacu di kawasan tengah, selain R. Gopinathan serta S. Chanturu
mengemudi bahagian sayap, eksperimen yang dilakukan oleh Dollah bagaikan
menemui kesilapan apabila penguasaan bola lebih banyak memihak tuan rumah.
Malah, Farizal Marlias yang
menjadi pilihan Dollah sebagai penjaga gol utama beraksi di bawah tahap
sebenar, selain dua ayam tambatan Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha dan
Safee Sali tidak menghasilkan persembahan terbaik.
Farizal bagaimanapun berjaya
menyelamatkan sepakan penalti Nuriddin Davranov pada awal babak kedua.
Dargon Ergashev menghasilkan
gol pertama pasukan tuan rumah pada minit ke-15 sebelum Khurshed Makhmudov
menambah dua gol pada minit ke 35 dan 51 dan Davranov menghasilkan gol keempat
pada minit ke-53.
Harimau Malaya yang
sekali-sekala mengasak mendapat gol sagu hati menerusi sepakan penalti Mohd.
Amri Yahyah setelah Safee dijatuhkan pada penghujung babak pertama.
mempunyai kesempatan terbaik
menerusi serangan balas Gopinathan yang berjaya meloloskan diri di sebelah kiri
namun hantaran silangnya gagal disambut oleh Safee sebelum dikeluarkan oleh
pertahanan Tajikistan.
Situasi semakin sukar buat
Harimau Malaya apabila Tajikistan memperoleh jaringan kedua pada minit ke-35
apabila sepakan jarak jauh Ergashev gagal diselamatkan oleh Farizal.
Namun, sebelum babak pertama
berakhir, Harimau Malaya mendapat sedikit kelegaan apabila pengadil
menganugerahkan sepakan penalti selepas penyerang Johor Darul Ta'zim, Safee
dikasari dan Mohd. Amri Yahyah tidak menghadapi masalah untuk menjaringkan gol.
Namun, Tajikistan pula mendapat
sepakan penalti pada awal babak kedua apabila bola didakwa mengenai tangan
Mohd. Aidil Zafuan namun Farizal dapat menyelamatkan sepakan penalti yang
diambil Nuriddin Davronov.
Bagaimanapun, harapan untuk
melihat skuad negara bangkit bagai terkulai layu apabila tuan rumah kembali
melebarkan jurang apabila bola yang ditampan Farizal mudah disepak masuk oleh
Dargon pada minit ke-51 untuk gol ketiga tuan rumah.
Harimau Malaya terus menderita
apabila dua minit kemudian Davronov menebus kegagalannya menyempurnakan penalti
dengan menjaringkan gol terakhir perlawanan, setelah melepasi kerapuhan benteng
negara.
Walaupun Dollah melakukan
beberapa pertukaran pemain dengan membawa masuk Baddrol Bakhtiar, Azamuddin
Akil dan Safiq Rahim, tiada perubahan ketara dapat disaksikan pada corak
permainan Harimau Malaya dengan pertahanan Tajikistan kelihatan begitu kebal
buat bahagian hadapan skuad negara.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140809/su_07/Harimau-Malaya-kena-taji#ixzz39qZsfLIw
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment