FARAH ZAMIRA FARUSH KHAN
1 Ogos 2014
Hubungan baik Malaysia dengan
kerajaan Hamas, seperti dibuktikan melalui pertemuan Najib dengan Ismail
(kanan) di Gaza dilihat menimbulkan rasa tidak senang Israel. Hubungan baik
Malaysia dengan kerajaan Hamas, seperti dibuktikan melalui pertemuan Najib
dengan Ismail (kanan) di Gaza dilihat menimbulkan rasa tidak senang Israel.
SHAH ALAM - Pendirian tegas
Malaysia dalam menyokong pejuang Palestin untuk mendapatkan semula hak mereka
yang dirampas negara haram Israel nampaknya semakin membuatkan rejim Zionis itu
tidak senang duduk.
Terbaharu, The Jerusalem Post,
iaitu media Israel yang digunakan untuk menghebahkan propaganda kerajaan Zionis
semalam mendakwa seorang tentera Hamas dari unit Al-Qassam bersama sembilan
anggota lain menjalani latihan di Malaysia pada 2012 tentang cara melakukan
serangan merentasi sempadan menggunakan payung terjun.
Pendedahan tersebut kononnya
dibuat oleh seorang komander Hamas kepada agensi keselamatan Israel, Shin Bet
dalam siri soal siasat selepas beliau ditahan di Khan Yunis, Gaza pada 21 Julai
lalu.
Anggota Hamas itu didakwa
mendedahkan bahawa beliau menerima latihan dalam serangan menggunakan payung
terjun serta cara menculik askar sebagai sebahagian daripada persediaan untuk
menentang serangan darat tentera Israel di Gaza.
"Suspek menyertai Hamas
pada 2007 dan menjadi sebahagian daripada unit tentera Hamas, Al-Qassam.
"Beliau menjadi cekap
dalam penggunaan senapang automatik Kalashnikov dalam pelbagai posisi
menembak," menurut The Jerusalem Post.
Namun, laporan itu tidak
menyebut pihak di Malaysia yang didakwa menyediakan latihan itu kepada anggota
Hamas tersebut.
Sementara itu, laporan Astro
Awani semalam menyebut, Hamas menafikan tuduhan Shin Bet itu.
Menurut pemimpin kanan Hamas,
Dr Khaled Qadoumi, rejim Zionis mengolah propaganda itu untuk menutup kelemahan
dan kekejaman di Gaza.
“Israel sedang mengalami
kekalahan moral yang teruk dalam operasi ketenteraannya kali ini di Gaza dan
mereka cuba menjejaskan sokongan sebuah negara Islam yang proaktif dan kuat
terhadap warga Palestin,” kata Khaled seperti dilaporkan Astro Awani.
Hamas juga menyifatkan Malaysia
menjadi sasaran penipuan Tel Aviv kerana peranan luar biasa kerajaan dan rakyat
negara ini dalam memperjuangkan Palestin di pentas global.
“Israel adalah penipu besar.
Kenapa tuduh Malaysia? Kerana Malaysia sebuah negara Islam yang bebas serta
berani sentiasa berada di sisi rakyat Palestin di Gaza yang terus sengsara,”
tegas Dr Khaled yang turut menyeru semua pihak di Malaysia tidak terpengaruh
dengan penipuan dan permainan propaganda Israel.
Sokongan berterusan Malaysia
terhadap perjuangan rakyat Palestin di Gaza menjadi perhatian dunia terutamanya
apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuat lawatan rasmi ke
wilayah tertindas itu dan bertemu dengan pemimpin Hamas yang juga Perdana
Menteri Gaza, Ismail Haniyeh pada Januari 2013.
Lawatan Najib itu mendapat
perhatian luar biasa dan liputan meluas media terutama di Amerika Syarikat
kerana beliau merupakan pemimpin dari luar negara Arab yang pertama melawat
Gaza.
Pertubuhan Kebudayaan Palestin
Malaysia (PCOM) menganggap lawatan itu sebagai langkah berani dan bersejarah
oleh Najib.
"Malaysia sentiasa
menerajui sokongan terhadap isu Palestin melalui pertubuhan badan bukan
kerajaan (di negara ini). Kami menggesa semua kerajaan yang adil untuk menuruti
langkah Malaysia," menurut PCOM semasa mengulas lawatan itu.
Sumber-SINAR HARIAN ONLINE
1.8.14
No comments:
Post a Comment