Ad

Saturday, 23 August 2014

Piala Malaysia 2014: PDRM bukti status, Pahang dikejutkan Felda

KUALA LUMPUR: Juara Liga Perdana, PDRM membuktikan status tampil dari divisyen dua negara tidak menghalang mereka bergelar pasukan tunggal meraih sembilan mata penuh berakhir pusingan pertama peringkat kumpulan Piala Malaysia, malam tadi.

Tanpa Dollah Salleh yang membantu mereka menjulang trofi Liga Perdana, Jun lalu, PDRM yang ketika ini dibimbing Azman Adnan mencatat kemenangan ketiga berturut-turut selepas membelasah T-Team 4-1 di Stadium Tuanku Rahman Paroi.

Kemenangan itu menyaksikan mereka menjadi satu-satunya pasukan yang merakam tiga kemenangan sekali gus memimpin Kumpulan D.

PDRM membuka tirai jaringan menerusi penyerang kebangsaan, Bobby Gonzalez seawal minit ke-12 sebelum pemain import, Ali Ashfaq meledak gol kedua tuan rumah pada minit ke-24 untuk selesa mendahului 2-0 tamat babak pertama.

Memasuki babak kedua, Bobby membuktikan ketajamannya dengan menjaring gol kedua peribadinya pada minit ke-67 sebelum gol keempat dilengkapkan Chad Souza pada minit ke-84.

Dan ketika perlawanan hampir berkesudahan tanpa tambahan jaringan, penyerang import T-Team, Jimmy Mulisa menjaring gol sagu hati pelawat dua minit sebelum permainan tamat.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan D, juara 32 kali Selangor mencatat kemenangan pertama dalam kempen Piala Malaysia dengan menewaskan Sime Darby 2-0.

Gol Selangor dijaringkan penyerang import dari Brazil, Paulo Rangel pada minit ke-18 sebelum Hazwan Bakri meledak gol pada minit ke-34.

Impian Pahang catat tiga kemenangan lebur

Dalam aksi Kumpulan A, penyandang juara Pahang dikejutkan di laman sendiri dengan kekalahan 3-2 kepada pasukan berstatus kelab, FELDA United.

Ketinggalan menerusi jaringan Edward Junior Wilson seawal minit ke-17, Pahang bangkit menyamakan kedudukan menerusi Azammudin Akil pada minit ke-23 sebelum di depan hasil jaringan Matias Conti pada minit ke-59.

Namun kelebihan Pahang tidak lama selepas Edward sekali lagi membuktikan ketajamannya dengan meledak gol kedua peribadi pada minit ke-64 sebelum Shukor Adan menjadi wira Felda menerusi jaringan pada minit ke-77.

Kemenangan meletakkan Felda selaku pendahulu Kumpulan A selepas mengumpul tujuh mata.

Pada satu lagi aksi Kumpulan A di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Darul Ta'zim (JDT) II kembali bernyawa selepas menundukkan Lions XII 2-1 yang juga kemenangan pertama dalam kempen Piala Malaysia kali ini.

Gol JDT II dijaringkan Shafiq Shaharudin pada minit ke-21 dan Fandi Ahmad (m81) dengan gol tunggal Lions XII dijaringkan Hafiz Sujad pada minit ke-51.

Perak tumbang di tempat lawan, kekal teraju Kumpulan B

Dalam aksi Kumpulan B, tuan rumah Terengganu mencatat kemenangan 2-1 ke atas Perak.

Mendahului 1-0 berakhir babak pertama menerusi jaringan Abdul Manaf Mamat pada minit ke-29, Perak kembali menyamakan kedudukan menerusi Mohd Nazri Mohd Kamal pada minit ke-42 sebelum Norfarhan Mohammad menjaring gol kemenangan tuan rumah pada minit ke-m50.

Pada satu lagi aksi Kumpulan B, Sarawak kecundang 1-2 kepada Kedah dengan gol jaringan pemain import, Billy Mehmet pada masa kecederaan babak kedua menafikan harapan tuan rumah untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata.

Ketinggalan menerusi jaringan Mohamad Farhan Roslan pada minit ke-32, Sarawak menyamakan kedudukan menerusi Ryan Griffiths pada minit ke-50 namun gagal mencari tambahan gol.

JDT bukti wibawa, Kelantan raih kemenangan kedua

Dalam aksi Kumpulan C, satu lagi calon juara yang juga juara Liga Super, JDT turut mencatat kemenangan di laman lawan selepas menewaskan Pulau Pinang 3-1.

Gol JDT diledakkan Amri Yahyah pada minit ke-13 diikuti gol Safiq Rahim, seminit kemudian. P.Pinang berjaya merapatkan jurang menerusi gol Lee Gil Hoon pada minit ke-65.

Namun belumpun reda sorakan penyokong tuan rumah, gawang mereka sekali robek menerusi pemain import JDT, Pereira Diaz, dua minit kemudian.

Pada aksi Kumpulan C di Stadium Shah Alam, ATM yang mengharap kemenangan pertama selepas dua kali mencatat seri tumbang 3-0 kepada Kelantan dengan kesemua jaringan diledakkan pada babak kedua.

Kelantan yang memburu kemenangan kedua berturut-turut terpaksa menunggu sehingga minit ke-51 menerusi gol penyerang import, Francis Forkey Doe sebelum kapten, Mohd Badhri Radzi membuktikan ketajamannya dengan meledak dua gol pada minit ke-60 dan 89.

PEMAIN import PDRM, Ashfaq Ali melakukan gerakan sambil diasak pemain T-Team pada perlawanan Piala Malaysia 2014 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. - FOTO Hazreen Mohamad

No comments:

Post a Comment