Ad

Wednesday, 13 August 2014

Skuad juara 2008 masih tunggu tanah dijanjikan


ALOR SETAR - Sudah enam tahun berlalu, namun habuan tanah lot dijanjikan kerajaan negeri terdahulu kepada semua pemain dan jurulatih pasukan Kedah yang mencipta sejarah menang tiga trofi sekali gus dua kali berturut-turut pada 2007 dan 2008 sehingga kini masih belum ada hitam putihnya.

Mendedahkan perkara itu di laman sosial Facebooknya, pengendali ketika itu, Mohd. Azraai Khor Abdullah (gambar) berkata, beliau telah banyak kali dihubungi pemain yang terlibat berhubung perkara berkenaan namun hingga kini masih gagal memberi jawapan.

"Tujuan saya mendedahkan perkara ini adalah atas rasa bertanggungjawab sebagai ketua jurulatih pada masa itu. Ramai pemain kecewa dengan sikap Persatuan Bola sepak Kedah (KFA) yang tidak serius berhubung perkara ini.

"Bukan mahu menyalahkan sesiapa, cuma kami mohon diberi perhatian sewajarnya memandangkan janji-janji ini sudah lama sangat," katanya.

Sebaik pasukan itu mencatat sejarah berkenaan, Menteri Besar ketika itu yang juga Presiden KFA, Allahyarham Tan Sri Azizan Abd. Razak telah mengumumkan sebidang tanah berkeluasan antara 6,000 hingga 8,000 kaki persegi akan dihadiahkan kepada pemain dan pegawai pasukan.

Menurut Azizan, kawasan tanah yang akan diterima oleh skuad berkenaan terletak di sekitar daerah Kuala Muda dan Pokok Sena.

Sementara itu, Azraai ketika dihubungi Utusan Malaysia memberitahu, sepanjang pengetahuannya, Azizan telah meluluskan pemberian tanah berkenaan sebelum 2010 lagi.

"Saya difahamkan pada 2010, ada Ahli Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) Negeri yang membawa perkara ini ke dalam mesyuarat. Difahamkan Allahyarham Azizan sendiri agak marah dan terkejut kerana mendakwa sudah pun meluluskan pemberian itu sejak sekian lama.

"Namun, mengapa sehingga kini kami masih tidak menerima apa-apa? Kami benar-benar terkilan kerana ada pihak yang tidak menjalankan amanah yang telah diberi.

"Saya amat berharap Menteri Besar yang juga Presiden KFA sekarang, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir membantu," katanya.
Sumber-

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140813/su_05/Skuad-juara-2008-masih-tunggu-tanah-dijanjikan#ixzz3AGAgTWMu © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment