Oleh
Asrol Awang
Matias Conti (jersi kuning)
meraikan gol kedua Pahang ketika menentang JDT II pada perlawanan di Stadium
Darul Makmur, malam tadi. - Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
Kuantan: Juara bertahan, Pahang
memulakan kempen Piala Malaysia dengan bergaya apabila membenam Johor Darul
Ta'zim (JDT) II, 4-0 di Stadium Darul Makmur di sini, malam tadi.
Namun, kira-kira 10,000
penyokong yang hadir terpaksa menunggu selama satu jam untuk menyaksikan aksi
pembuka tirai yang tertangguh itu berikutan hujan lebat sebelum perlawanan bermula
pada jam 9.45 malam.
Pada saingan itu, tuan rumah
tidak menunggu lama untuk merobek gawang pelawat apabila penyerang import,
Dickson Nwakaeme menjaringkan gol pendahuluan seawal minit kelima.
Jaringan itu berpunca daripada
umpanan Matias Conti yang terus ke arah Dickson dan pemain itu yang berada di
dalam kawasan kotak penalti mudah menewaskan penjaga gol lawan, Mohd Anis
Faron.
Pada minit ke-38, tandukan
penyerang dari Argentina, Conti menambah kedukaan pelawat dengan gol kedua buat
skuad Tok Gajah, sekali gus mengecewakan Mohd Anis.
Hilang tumpuan
Skuad kendalian Azmi Mohamad
jelas hilang tumpuan selepas dua kali bolos apabila tidak dapat bangkit untuk
memecah benteng tuan rumah yang diketuai kapten pasukan, Mohd Razman Roslan.
Peluang terbaik JDT II menerusi
kapten mereka, Shahril Ishak apabila rembatan dari luar kotak penalti terus ke
dakapan penjaga gol Pahang, Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid pada minit ketiga.
Bersambung babak kedua, Pahang
terpaksa menunggu minit ke-70 untuk menambah jaringan ketiga hasil tandukan
penyerang berbisanya, Nwakame berpunca daripada sepakan sudut yang
disempurnakan Azamuddin Mohd Akil.
JDT II yang hilang punca tidak
dapat bangkit dan sebaliknya tuan rumah menguasai permainan untuk mengutip tiga
mata berharga di gelanggang sendiri.
Pemain gantian, Mohd Fauzi
Rozlan menjaringkan gol keempat buat skuad Tok Gajah pada masa kecederaan untuk
memastikan skuad Tok Gajah ceria mendapat mata penuh dalam perlawanan pembukaan
ini.
Sumber-Berita Harian online
14.8.14
No comments:
Post a Comment