Ad

Monday 11 August 2014

Jangan cepat menghukum Dollah


 

Jangan cepat menghukum Dollah
Dollah Salleh
KUALA LUMPUR - Sungguhpun tewas 1-4 kepada Tajikistan dalam aksi persahabatan minggu lalu, namun kepercayaan penuh masih disandarkan kepada jurulatih baharu Harimau Malaya, Dollah Salleh.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, Dollah wajar diberi masa untuk membuktikan kemampuannya.

Malah, aksi pertama menentang pasukan ranking ke-124 dunia itu juga tidak wajar dijadikan ukuran penuh prestasi skuad kebangsaan di bawah kendalian bekas jurulatih PDRM tersebut.

"Itu perlawanan pertama buat Dollah dan biarlah bagi dia sedikit masa untuk mendapatkan percaturan yang terbaik bersama skuad kebangsaan.

"Apa yang perlu dilakukan Dollah dan pasukan selepas sini adalah memastikan prestasi sentiasa berada di tahap terbaik bersama skuad kebangsaan," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat majlis Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) di sini, semalam.

Skuad Harimau Malaya kendalian Dollah nyata bukan tandingan Tajikistan selepas kalah 1-4 pada aksi persahabatan antarabangsa yang berlangsung di Stadium Central, Dushanbe, Tajikistan pada Jumaat lepas.

Ia juga adalah tugasan antarabangsa pertama Dollah sejak dilantik pengendali baharu skuad Harimau Malaya oleh FAM pada 9 Julai lepas bagi menggantikan Datuk K. Rajagobal yang tidak disambung kontrak selepas gagal membawa Malaysia meraih slot ke pusingan akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Asia 2015 di Australia.

Malaysia dijangka menentang Jordan pada aksi persahabatan seterusnya, 11 Okt ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sementara itu, Tengku Abdullah turut mengulas berhubung undian skuad Harimau Malaya dalam saingan Piala AFF yang dianggap sebagai satu tugas besar buat skuad kebangsaan.

"Bagi saya undian dalam kedua-dua kumpulan tiada yang mudah dan saya lihat semua pasukan mempunyai kekuatan tersendiri.

"Ketika ini Filipina adalah pasukan pilihan dalam Piala AFF begitu juga Indonesia manakala Myanmar telah mempunyai satu program pembangunan yang lebih baik daripada dahulu sekali gus tiada pasukan yang lemah dalam kejohanan ini," kata Tengku Abdullah.

Skuad Harimau Malaya diundi dalam Kumpulan B bersama juara bertahan Singapura, juara tiga kali Thailand dan pemenang pusingan kelayakan.

Pusingan kelayakan Piala AFF akan berlangsung di Laos dari 12-20 Oktober ini membabitkan lima negara Myanmar, Brunei, Timor Leste dan Kemboja bagi merebut dua slot terakhir.
SUMBER-

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140812/su_03/Jangan-cepat-menghukum-Dollah#ixzz3A7H5UGZu © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment