Ad

Monday 25 August 2014

Felda United tetap waspada

Felda United tetap waspada
 Oleh TAUFIK SALIMIN
taufik.salimin@kosmo.com.my
 
IRFAN (kanan) memberi taklimat kepada barisan pemainnya menjelang aksi menentang Pahang di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam ini.

FELDA United tetap merendah diri walaupun dianggap antara pasukan paling garang pada kempen Piala Malaysia 2014.

Mereka tetap menghormati pasukan lawan dan tidak mahu berasa megah disebalik beberapa kejutan yang telah dilakarkan pada perlawanan pusingan pertama peringkat Kumpulan A sebelum ini.

Malam ini, mereka akan sekali lagi berdepan juara bertahan, Pahang pada aksi kedua peringkat kumpulan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Jurulatih Felda United, Irfan Bakti Abu Salim telah mengingatkan agar berhati-hati dengan kebangkitan Pahang yang mereka tewaskan 3-2 pada perlawanan ketika di Kuantan pada Sabtu lalu.

Selepas selesai tiga perlawanan pada pusingan pertama, Felda United kini menjadi pendahulu Kumpulan A dengan tujuh mata dan kini mereka berazam mahu meneruskan rentak cemerlang itu, sekali gus berjaya melepasi saingan peringkat kumpulan untuk mara ke peringkat suku akhir.

Namun, Irfan Bakti mengeaskan agar para pemainnya tidak terlalu ghairah dengan kejayaan tersebut, sebaliknya harus sentiasa berwaspada kerana Pahang sudah pasti berhajat besar untuk menumpaskan pasukannya pada perlawanan kedua ini.

"Apa yang saya harap ialah agar para pemain kekal fokus dan sentiasa mengawasi pemain-pemain Pahang di setiap sudut kerana mereka sudah pasti mahu membalas dendam terhadap kekalahan pada Sabtu lalu.

"Saya mahu pemain berpijak di bumi nyata dan jangan terlalu teruja dengan kemenangan yang dilakar baru-baru ini.

"Perkara itu sudah berlalu dan pemain perlu pandang ke hadapan kerana saingan semakin mencabar serta sukar," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Irfan Bakti mengakui, kebangkitan yang ditunjukkan para pemainnya semasa menentang skuad Tok Gajah minggu lalu ternyata cukup positif dan komitmen yang diberikan seluruh pasukan cukup mengagumkan.

Menurutnya, jika dahulu Felda United dilabel pasukan belasahan tetapi keupayaan menundukkan juara Piala Malaysia musim lalu itu menjadi medan kekuatan pasukan bimbingannya.

"Justeru, saya mengharapkan agar pemain mengekalkan komitmen, disiplin dan semangat berpasukan yang ditunjukkan minggu lalu kerana Pahang semestinya mempunyai strategi untuk mengalahkan kami.

"Saya juga mengingatkan pemain terutamanya di bahagian pertahanan agar tidak mengulangi kesilapan mudah," ujarnya.

Jurulatih itu juga mahukan pasukannya tidak mensia-siakan peluang bermain di tempat sendiri dan perlu melakar kemenangan untuk memastikan slot ke pusingan seterusnya terjamin.

"Diharap perlawanan malam esok (malam ini) boleh mencipta keputusan terbaik untuk terus membuka peluang buat Felda United layak ke suku akhir pada saingan Piala Malaysia kali ini," jelasnya.

SUMBER-KOSMO ONLINE 26.8.14

No comments:

Post a Comment