Ad

Saturday, 16 August 2014

The Swans malukan Van Gaal di Old Trafford

LONDON - Louis van Gaal memulakan cabaran baharu dalam Liga Perdana Inggeris dengan langkah sumbang selepas Manchester United diaibkan 1-2 oleh Swansea City dalam aksi pembuka tirai di Old Trafford, semalam.

Lebih memalukan ini juga adalah kekalahan pertama buat Red Devils dalam aksi sulung liga di laman sendiri sejak 1972.

Malah aksi pertama United di bawah bimbingan Van Gaal juga mengecewakan penyokong tuan rumah yang amat mengharap kelab itu dapat kembali mengulangi kecemerlangan sewaktu bersama Alex Ferguson.

Pada musim lalu, United sekadar berupaya menamatkan saingan liga di kedudukan ketujuh sewaktu dibimbing oleh bekas pengurus, David Moyes, menyebabkan pasukan itu terkeluar daripada persaingan Liga Juara-Juara buat kali pertama.

"Ia adalah kekalahan yang amat mengecewakan kerana kami tewas di laman sendiri pada aksi pertama liga.

"Kami terlalu gementar pada separuh masa pertama, selain banyak melakukan kesilapan, namun pada babak kedua kedua-dua pasukan mula mempamer aksi meyakinkan," kata Van Gaal.

Pada perlawanan tersebut pemain tengah Korea Selatan, Ki Sung-yueng mengejutkan tuan rumah menerusi jaringan awal minit ke-28 yang membolehkan Swansea mendahului 1-0 sepanjang separuh masa pertama.

United berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-53 hasil jaringan kapten baharu mereka, Wayne Rooney.

Bagaimanapun, tuan rumah gagal untuk menamatkan saingan sekurang-kurangnya dengan keputusan seri 1-1 apabila kelonggaran benteng pertahanan membolehkan pemain The Swans, Gylfi Sigurdsson meledak gol kemenangan pada minit ke-72.

Van Gaal menggunakan formasi 3-4-1-2 yang sebelum ini menghadirkan keputusan memberangsangkan pada pra-musim.

Kegagalan sistem itu berfungsi dengan baik mendorong pengendali dari Belanda tersebut menukarnya di babak kedua.

Nani dibawa masuk menggantikan penyerang, Javier Hernandez, manakala Ashley Young berpindah ke bek kiri.

Biarpun Rooney berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan bebas, United bergelut sepanjang saingan dan sukar mencipta peluang. - AFP
Sumber-

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140817/sl_01/The-Swans-malukan-Van-Gaal-di-Old-Trafford#ixzz3AbTyGPac © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment