Ad

Monday, 11 August 2014

KJ sedia lepas jawatan menteri


 

KJ sedia lepas jawatan menteri
 Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
rafie.azimi@utusan.com.my
KUBANG PASU - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (gambar) bersedia melepaskan jawatannya jika hasil post mortem ke atas prestasi skuad negara di Sukan Komanwel di Glasgow baru-baru ini mendapati beliau merupakan punca di sebalik kegagalan meraih sasaran tujuh pingat emas.

Menurutnya, tindakan itu bukan sesuatu yang sukar untuk diambil jika benar pengundurannya nanti mampu mengembalikan kecemerlangan kepada sukan negara.

"Tanyalah kepada persatuan-persatuan sukan dan pegawai terlibat. Kalau salah saya, saya bersedia letak jawatan.

"Tetapi kita belum habis buat post mortem. Belum tengok secara mendalam kenapa kita gagal. Jika nanti post mortem itu menunjukkan saya puncanya, saya boleh letak jawatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kubang Pasu di sini hari ini.

Baru-baru ini Khairy melalui laman Facebooknya menyarankan mana-mana pegawai persatuan sukan, jurulatih atau atlet yang kurang menyerlah pada Sukan Komanwel XX, berundur dan memberikan ruang kepada orang lain untuk menggantikan mereka.

Katanya, keputusan getir itu perlu diambil sekiranya mereka yang terlibat didapati sudah berkali-kali tidak mencapai indeks prestasi utama (KPI) yang ditetapkan sehingga menyebabkan kontinjen negara beraksi hambar di Glasgow dan hanya membawa pulang enam pingat emas.

Mengulas persediaan kontinjen negara ke Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan September depan, Khairy berkata pemilihan atlet ke temasya itu masih belum dimuktamadkan dan akan dipengaruhi oleh prestasi mereka di Glasgow.

"Begitu juga dengan sasaran pingat yang belum kita tetapkan. Apa yang pasti, saya mahu memastikan kali ini mereka yang dipilih untuk menjalani pendedahan di temasya itu terdiri daripada atlet yang berpotensi untuk menang dalam temasya akan datang dan bukan hanya menjadi belasahan negara lain.

"Saya tidak menafikan perlu ada pendedahan buat atlet tetapi mereka perlu melepasi kriteria tertentu. Kali ini, kami menetapkan majoriti daripada kontinjen kita hanya akan dibarisi oleh mereka yang berpeluang meraih pingat," tegasnya.

Ditanya mengenai masa depan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang berdepan kemungkinan digantung atau dibatalkan pendaftarannya berhubung isu audit yang membayanginya sejak awal tahun ini, Khairy berkata beliau akan bertemu dengan Panel Penasihat sukan (PPS) bagi mendapatkan nasihat mengenai langkah yang perlu diambil.
sumber

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140810/su_02/KJ-sedia-lepas-jawatan-menteri#ixzz3A4Tyjoev © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment