Ad

Tuesday 12 August 2014

Shawky tak jumpa jalan pulang

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my
KOTA BHARU - Juara dua kali, Kelantan tempang apabila berdepan gergasi selatan, Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi pembukaan Piala Malaysia, Rabu ini selepas bintang tengahnya, Mohamed Shawky Yazid masih belum melapor diri ke pangkuan pasukan.

Sumber dalaman Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berkata, sehingga semalam kelibat pemain kelahiran Mesir itu belum kelihatan walaupun skuad kendalian George Boateng sudah menjalani latihan sejak bulan lalu.

"Sehingga kini pemain kelahiran Mesir itu belum melaporkan diri ke pangkuan pasukan.

"Ketiadaan Shawky dilihat menjejaskan perancangan ketua jurulatih untuk menyediakan ramuan terbaik menjelang saingan Piala Malaysia yang bermula Rabu ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Tambah sumber, khidmat Shawky amat ditagih pada pentas Piala Malaysia selepas mereka kehilangan khidmat Brendan Gan yang masih belum pulih dari kecederaan.

"Saya khuatir ketiadaan Shawky akan menjelaskan jentera tengah pasukan Kelantan.

"Namun saya masih berharap pemain tersebut akan kembali dalam masa terdekat," kata sumber itu lagi.

Difahamkan pemain berkenaan pulang ke negara asalnya sejak 20 Jun lalu bagi menyelesaikan masalah keluarga yang dikatakan rumit.

Aksi terakhir Shawky bersama pasukan ialah pada pertemuan Liga Super dengan Johor Darul Takzim (JDT) yang menyaksikan The Red Warriors tumbang 3-0 kepada pasukan tersebut.

Pada pertemuan terakhir Liga Super dengan Terengganu pemain berkenaan tidak beraksi selepas digantung kerana mengumpul tiga kad kuning.

Sepanjang musim ini Shawky menjaring enam gol dalam Liga Super dan satu dalam Piala FA.

Sementara itu, Setiausaha Agong KAFA Azman Ibrahim ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

Katanya, pemain itu boleh berdepan tindakan jika dia tidak melaporkan diri dalam tempoh terdekat.
Sumber-

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140811/su_03/Shawky-tak-jumpa-jalan-pulang#ixzz3AAlYHT2b © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment