Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
SKUAD Harimau Malaya menjalani
latihan terakhir di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya semalam sebelum berlepas ke
Tajikistan untuk perlawanan persahabatan. - UTUSAN/MOHD. AZIM ABD. RAHMAN
PETALING JAYA - Debaran undian
Piala AFF 2014 bakal terungkai hari ini, sama ada Harimau Malaya akan berada
dalam kumpulan maut atau sebaliknya, namun jurulatih, Dollah Salleh tetap
tenang.
Langsung tidak berasa tertekan,
pengendali berusia 51 tahun itu menegaskan, beliau tidak mempunyai sebarang
pasukan yang ingin dielak, sambil bersedia bertemu mana-mana pencabar.
Jelasnya, memandangkan jurang
semua pasukan berada di tahap yang tidak jauh berbeza, beliau tidak risau
dengan keputusan undian yang akan dilakukan di Hanoi, Vietnam pada pukul 2
petang waktu Malaysia.
"Kualiti antara pasukan
dalam Piala AFF sebenarnya lebih kurang sama dan kalau kita hendak fikir nak
elak jumpa sesiapa, saya rasa memang susah kerana sudah pasti kita akan
berjumpa hampir semua pasukan jika mara ke perlawanan akhir.
"Pada saya dengan siapa
kita bakal diundi, itu bukan masalahnya kerana apa yang penting adalah
persiapan pasukan dalam beberapa bulan ini bagi menghadapi kejohanan Piala
AFF," katanya yang ditemui pada sesi latihan terakhir Harimau Malaya di
Wisma FAM, sebelum bertolak ke Dushanbe, Tajikistan, semalam.
Vietnam, Thailand, Indonesia
dan juara bertahan, Singapura berpotensi menjadi dua pencabar negara di
peringkat kumpulan.
Dua slot lagi akan ditentukan
menerusi pusingan kelayakan terdiri daripada Brunei, Myanmar, Laos, Kemboja dan
Timor Leste yang akan berlangsung dari 12 hingga 20 Oktober.
Pada Piala AFF 2012, Harimau
Malaya yang turun dengan reputasi juara bertahan diundi bersama Singapura,
Indonesia dan Laos.
Malaysia muncul naib juara
kumpulan sebelum tewas kepada Thailand di separuh akhir.
Menjelang perlawanan dengan
Tajikistan, Dollah mengakui sedikit gusar kerana terpaksa bermain di padang
tiruan yang dijangka memberi sedikit kesukaran kepada anak-anak buahnya bermain
mengikut rentak sebenar.
"Saya belum ada
kesebelasan idaman, biar di sana saya tentukan selepas kami menjalani latihan
serta pemain mendapat kesesuaian.
"Cuma yang mungkin sedikit
bermasalah adalah faktor padang kerana berdasarkan maklumat yang saya terima
kita akan bermain di atas padang tiruan yang mungkin membawa sedikit kesukaran
kepada pemain.
"Walaupun saya ada membawa
pemain berlatih di padang tiruan, namun tidak boleh terlalu lama kerana pasti
akan ada pemain mendapat kecederaan," katanya.
Sumber-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140805/su_04/Dollah-tak-ambil-pusing#ixzz39V817bdU
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment